MH370: Keluarga tidak pernah dan tidak akan lupa
Astro Awani
Julai 6, 2014 07:55 MYT
Julai 6, 2014 07:55 MYT
Dia tercari-cari gambar bapanya di pameran itu.
Satu pameran foto yang berlangsung di pusat membeli-belah Publika di Solaris Dutamas menjadi tumpuan apabila memberi penghormatan kepada penumpang dan anak kapal pesawat Penerbangan Malaysia, MH370 yang hilang sejak 8 Mac lalu.
Ia mempamerkan koleksi foto yang diambil oleh jurugambar tempatan dan antarabangsa yang membuat liputan tragedi MH370 sejak pesawat itu hilang.
Maira Elizabeth tersenyum sebaik sahaja dia ternampak gambar ketua pramugari penerbangan Andrew Nari, di kalangan gambar 239 penumpang dan anak kapal pesawat malang itu.
Senyumannya kemudian bertukar kesedihan apabila disedari yang ayahnya dan keseluruhan penumpang kapal terbang itu masih belum ditemui.
Setelah hampir 121 hari sejak misteri kehilangan pesawat MH370, dia masih berharap agar ayahnya pulang.
Walaupun dia cuba untuk melindungi kesedihannya di hadapan orang ramai, pelajar jurusan komunikasi yang baru berusia 18 tahun itu berkata ia bukan sesuatu yang mudah untuk dilupakan.
"Kami cuba untuk menerima hakikat. Pada mulanya kita tidak pernah terfikir ia akan berlarutan sampai sekarang. Kini ia telah mencecah empat bulan dan kami masih tidak boleh menerima hakikat tersebut," katanya kepada Astro AWANI selepas pelancaran 'Pameran Foto Penghargaan MH370' anjuran Kelab Wartawan Asing Malaysia.
Pameran itu telah dilancarkan oleh Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein pada Ahad.
"Kami cenderung untuk bersedih sejak kebelakangan ini. Kami terus berharap dengan berdoa dan cuba untuk kekal positif tetapi ia semakin sukar. Cubalah anda lalui pengalaman ini. Ia tidak mudah sama sekali. Ia sukar," katanya.
Sebagai anak perempuan sulung Nari dan Melanie Antonio, dia juga merasakan bertanggungjawab untuk kekal kuat dan menjaga ibu dan adiknya, Malcolm yang berusia 14 tahun.
Maira yang bercita-cita mahu menjadi seorang wartawan satu hari kelak berkata ibunya adalah sumber kekuatannya.
Sementara itu, Maira turut kelihatan mendukung seorang budak lelaki yang cuba untuk melihat lebih dekat foto pada pameran itu.
Rafael yang berusia dua tahun menunjukkan foto datuknya, Gomes, yang turut berada dalam gambar yang sama dengan bapa Maira.
Difahamkan bahawa Maira dan seluruh ahli keluarga penumpang MH370 dan anak-anak kapal tidak akan berhenti berharap sehingga kapal terbang yang hilang dijumpai.
"Perkara yang paling penting, saya berharap mereka tidak berhenti mencari. Saya mahu mereka (pihak berkuasa) untuk mencari di mana mereka berada. Sama ada mereka sudah mati atau masih hidup, ia tidak penting, asalkan mereka kembali," katanya.
Buat Jacquita Gomes, isteri kepada penyelia penerbangan MH370, Patrick Gomes pula, dia masih berharap agar penumpang dan anak kapal selamat mendarat.
"Kami hanya meneruskan kehidupan pada masa ini, kami tidak mahu ia (kejadian) dilupakan, semua pihak perlu terus diingatkan bahawa mereka masih berada di luar sana. 239 daripada mereka dan pasangan mereka tidak pernah dilupakan. Setiap hari kami mengenangkan mereka, setiap hari kami bercakap mengenai mereka, "katanya.
Pesawat Boeing 777-200 Beijing yang membawa 239 penumpang hilang selepas berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada 8 Mac lalu. Pesawat itu sepatutnya mendarat di Beijing pada pukul 6.30 pagi pada hari yang sama.