MH370: Keluarga gesa Malaysia beli data belum diproses daripada Inmarsat

Bernama
Mei 1, 2014 10:01 MYT
Keluarga warga China yang menaiki pesawat Malaysia Airlines (MAS) Penerbangan MH370 mencadangkan pihak berkuasa Malaysia supaya membeli data yang belum diproses daripada syarikat satelit UK Inmarsat.
Seorang anggota keluarga itu mencadangkan supaya data itu dikongsi dan diakses secara global bagi membolehkan ia dianalisis oleh pakar-pakar penerbangan.
"Biar seluruh dunia turut serta dalam kerja-kerja analisis ini," kata beliau kepada kumpulan teknikal Malaysia pada majlis taklimat di sini, hari ini.
Anggota keluarga itu juga mencadangkan penubuhan sebuah dana untuk memberi ganjaran kepada individu atau pihak yang menemui pesawat MH370.
Wakil MAS, Subas Chandran berkata beliau akan menyampaikan permintaan itu kepada pasukan penyiasatan yang menyertai operasi mencari dan menyelamat (SAR).
Sementara itu, Sayid Ruzaimi Syed Aris, wakil dari Jabatan Penerbangan Awam Malaysia berkata Malaysia tidak akan menghentikan operasi mencari dan menyelamat pesawat MH370.
Dalam taklimat lebih tiga jam itu, rakaman audio antara MH370 dan pusat kawalan penerbangan turut disiarkan kepada anggota keluarga, yang kemudian meminta supaya transkrip rakaman diterjemahkan ke dalam bahasa China.
Anggota keluarga turut diberi penerangan mengenai isu-isu teknikal seperti Transmiter Pengesan Kecemasan (ELT), analisis data satelit serta kotak hitam pesawat.
Operasi mencari pesawat Boeing 777-200ER itu kini memasuki bulan kedua sejak kehilangannya pada 8 Mac.
MH370 yang membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal hilang daripada imbasan radar pada 8 Mac ketika dalam penerbangan ke Beijing kira-kira sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL pada 12.41 tengah malam.
Pesawat itu sepatutnya mendarat di Beijing pada 6.30 pagi hari yang sama.
Tujuh belas hari kemudian, Inmarsat dan Cawangan Penyiasatan Kemalangan Udara United Kingdom (AAIB) merumuskan bahawa Penerbangan MH370 berakhir di selatan Lautan Hindi.
Pencarian pesawat itu masih diteruskan.
#China #data #Inmarsat #Malaysia #MH370 #UK
;