MH370: Kabinet bakal putuskan komposisi panel siasatan antarabangsa

Astro Awani
April 16, 2014 07:56 MYT
Pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Hussein
Kabinet sedang memutuskan komposisi anggota panel siasatan antarabangsa berkenaan tragedi Penerbangan Malaysia (MAS) MH370.
Pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata langkah untuk membentuk panel siasatan, yang terdiri daripada pakar-pakar di seluruh dunia, akan membuktikan ketelusan kerajaan Malaysia.
"Ini akan menunjukkan kepada dunia bahawa Malaysia tidak ada apa-apa yang hendak disembunyikan," Hishammuddin memberitahu pemberita di Pusat Dagangan Dunia Putra ( PWTC ) di sini.
Hishammuddin, yang menghadiri Persidangan dan Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) 2014, juga berkata Kabinet yang membincangkan perkara itu hari ini juga akan menentukan bilangan anggota yang akan dilantik ke dalam panel.
"Panel itu perlu terdiri daripada orang-orang yang dihormati , boleh dipercayai dan boleh membuat keputusan dan penyiasatan tanpa rasa takut atau pilih kasih," kata Menteri Pertahanan itu.
Selain daripada panel bebas antarabangsa, Hishammuddin berkata kerajaan juga akan menubuhkan sebuah Suruhanjaya Siasatan Diraja dan satu Jawatankuasa Khas Parlimen mengenai perkara itu.
Perkembangan akibat daripada siasatan antarabangsa akan diumumkan kepada media dari semasa ke semasa, katanya.
Sementara itu, Hishammuddin juga berkata Malaysia tidak akan mengurangkan usaha dalam misi mencari dan menyelamat, walaupun sesetengah daripada 26 negara-negara lain mungkin berbuat demikian.
MH370 hilang dalam perjalanan ke Beijing dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur dengan 239 orang dalam pesawat tersebut pada 8 Mac.
#Boeing #Boeing 777 #Hishammuddin Hussein #MAS #MH370