MH370: JACC simpulkan pesawat tidak hilang di kawasan isyarat ping dikesan

Astro Awani
Mei 29, 2014 13:03 MYT
Ketua Pusat Penyelarasan Agensi Bersama (JACC), Angus Houston - Gambar Fail
Kawasan laut dalam di Lautan Hindi yang menjadi tumpuan operasi pencarian pesawat penerbangan Malaysia selepas empat isyarat ping yang dipercayai datang dari kotak hitam pesawat penerbangan Malaysia yang hilang sejak 8 Mac lalu, diiystiharkan sebagai bukan kawasan pesawat MH370 hilang.
Perkara itu disahkan Pusat Penyelarasan Agensi Bersama (JACC) ang berkata kesimpulan itu berdasarkan perkiraan profesional agensi penyelaras Australia .
“Kita boleh simpulkan kawasan itu (ping dikesan) bukan kawasan dimana pesawat MH370 hilang”
Perkara itu dimaklumkan dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan oleh agensi itu hari ini.
Empat isyarat yang dikaitkan dengan penggera pesawat tersebut sebelum ini telah dikesan oleh kapal Tentera Laut DiRaja Australia, Ocean Shield yang menggunakan kelengkapan dari Amerika Syarikat.
Dua daripadanya telah dikatakan begitu konsisten dengan isyarat perakam penerbangan pesawat.
Pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 dalam perjalanan ke Beijing dari Kuala Lumpur membawa seramai 239 penumpang dan anak kapal pada 8 Mac lalu.
Kurang sejam selepas ia berlepas, pesawat malang itu dilaporkan hilang dan pada 24 Mac lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengumumkan bahawa pesawat MH370 berakhir di selatan Lautan Hindi.
Susulan itu juga satu laporan awal tragedi MH370, yang antara lain mengandungi rakaman audio perbualan antara kokpit dan Pusat Kawalan Trafik Udara Kuala Lumpur, senarai kargo dan senarai penumpang pesawat itu, telah dikeluarkan Kementerian Pengangkutan pada awal bulan ini.
#Angus Houston #jacc #MH370 #penerbangan Malaysia #Perth
;