MH370: Dua pesawat Hercules C-130 TUDM tiba di Pangkalan TUDM
Bernama
April 30, 2014 19:18 MYT
April 30, 2014 19:18 MYT
Dua pesawat C-130 Hercules milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang menjalankan operasi mencari pesawat Malaysia Airlines (MAS) Penerbangan MH370 yang hilang 8 Mac lepas, tiba di Pergerakan Udara TUDM Subang pada Rabu.
Kedua-dua pesawat yang berlepas ke Pangkalan Tentera Udara Diraja Australia (RAAF) Pearce 28 Mac lepas, membawa 54 kru terdiri daripada 35 anggota lain-lain pangkat dan 19 pegawai itu masing-masing tiba pukul 10.50 pagi dan 11 pagi, disambut anggota keluarga.
Sebuah lagi pesawat C-130 membawa baki 24 anggota TUDM dijadual tiba di Pangkalan Udara TUDM, pada Sabtu.
Panglima No 1 Divisyen Udara TUDM Mejar Jeneral Datuk Azizool Arif Abdul Ghani berkata semua 78 anggota TUDM ditugaskan dalam 43 misi mencari dan menyelamat pesawat itu selama 382 jam di kawasan barat daya Lautan Hindi, iaitu lingkungan 1,600 kilometer dari barat Perth, Australia.
"Dalam tugasan ini, saya rasa anak-anak kapal kita telah dapat menimba pengalaman yang mendalam serta dan tidak terhingga dalam mengendalikan operasi sebegini," katanya kepada pemberita selepas menyambut kepulangan 54 kru itu di sini.
Azizool berkata, dengan pengalaman yang ditimba itu, beliau berharap agar mereka dapat menjana satu tahap profesionalisme yang lebih tinggi.
Penerbangan MH370, yang membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal, berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL pada 12.41 tengah malam 8 Mac sebelum hilang daripada radar kira-kira sejam kemudian semasa berada di ruang udara Laut China Selatan.
Pada 24 Mac lepas, setelah 17 hari pesawat Boeing 777-200ER itu hilang, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan Penerbangan MH370 "berakhir di selatan Lautan Hindi".
Azizool dalam pada itu melahirkan kebanggaan apabila pihak TUDM diberi penghormatan oleh Pusat Pennyelarasan Agensi Bersama (JACC) untuk menggugurkan 'sonar bouys' atau tanda arah di kawasan Lautan Hindi untuk menjejaki pesawat itu.
"Saya rasa ini satu kejayaan kita apabila diberikan penghormatan itu...Bagi anak kapal kita, walaupun mereka jauh jalankan tugas, saya rasa mereka telah lakukannya dengan tahap profesionalisme yang tinggi dan dengan pengalaman yang ada, mereka telah dapat pertingkatkan imej negara dan TUDM," katanya.