MH370: Data belum diproses Inmarsat didedahkan esok - Hishammuddin

Bernama
Mei 26, 2014 19:53 MYT
Pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein. --gambar fail
Laporan mengenai data satelit yang belum diproses daripada firma United Kingdom Inmarsat, yang digunakan untuk mengesan pola penerbangan pesawat MH370 Malaysia Airlines, akan dikeluarkan Selasa.
Pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata Jabatan Penerbangan Awam (DCA) dan Inmarsat akan mengumumkan laporan itu secara bersama.
"Ini yang mereka (Inmarsat dan DCA) telah beritahu saya," kata beliau kepada pemberita selepas melawat Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) di sini Isnin.
Penerbangan MH370, yang membawa 239 orang, hilang daripada imbasan radar ketika berada di ruang udara Laut China Selatan pada 8 Mac setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL di sini pukul 12.41 tengah malam.
Pesawat Boeing 777-200ER itu sepatutnya mendarat di Beijing pukul 6.30 pagi pada hari yang sama.
Hishammuddin berkata keputusan untuk menyiarkan data belum diproses itu adalah untuk memenuhi permintaan anggota keluarga penumpang pesawat MH370.
Data itu juga boleh digunakan oleh pakar-pakar global untuk membuat analisis, kata beliau.
Awal bulan ini, anggota keluarga mereka yang menaiki pesawat meminta pihak berkuasa mengeluarkan data belum diproses untuk membolehkannya dikaji bagi ketepatan oleh pakar-pakar berkaitan.
##MengenangMH370 #Australia #Beijing #China #data penerbangan #Hishammuddin Hussein #Inmarsat #Kuala Lumpur #MH370 #penerbangan Malaysia
;