MH370: Cuaca buruk dan taufan, cabaran getir operasi - Juruterbang
Bernama
Mei 1, 2014 08:08 MYT
Mei 1, 2014 08:08 MYT
Cuaca buruk tiba-tiba diikuti taufan kencang adalah antara cabaran getir dan cukup menyukarkan dialami kru pesawat C-130 Hercules TUDM dalam misi pencarian pesawat MAS MH370 di Lautan Hindi.
Sepuluh jam dalam sehari yang ditetapkan untuk operasi mencari dan menyelamat menambah beban cabaran terhadap kru berkenaan.
Namun, segalanya dihadapi dengan cekal dan berani, kata seorang juruterbang pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia itu, Mejar Azman Amat.
Bila cuaca terlalu buruk mereka terpaksa berpatah balik ke pangkalan, kata beliau.
Kru pesawat itu berlepas ke Pangkalan Tentera Udara Diraja Australia (RAAF) Pearce, 28 Mac lepas untuk misi berkenaan berikutan kehilangan pesawat Malaysia Airlines itu pada pagi 8 Mac ketika dalam penerbangan menuju Beijing.
Azman, 44, berkata "Misi yang kita buat ini cukup mencabar...memang berbahaya, tetapi itu tugasan yang diberi.
"Berbanding Ops Piramid untuk kami bawa keluar pelajar Malaysia di Mesir ketika pergolakan politik di negara itu, yang ini lebih berbahaya.
"Paling mencabar dan paling memakan masa, selama 24 tahun saya bertugas dengan TUDM," kata Azman yang sudah mempunyai tiga orang anak.
Beliau menceritakan misi tersebut kepada pemberita setibanya di Pangkalan Udara Subang bersama 53 lagi anggota dan pegawai yang menyertai operasi itu sejak 29 Mac lepas.
Azman berkata setiap kali berlepas dari pangkalan Pearce, semua kru berharap menemui sesuatu yang positif dalam pencarian itu.
Azman dan rakan-rakan kru teruja bila mengesan sesuatu serpihan, tetapi tiba-tiba hampa dan sedih bila diberitahu penemuan negatif.
"Saya sentiasa berusaha bersungguh-sungguh untuk mencari dan berharap jumpa sesuatu...walaupun sekadar serpihan kecil," katanya yang berasal dari Salak Tinggi, Sepang.
Penerbangan MH370, yang membawa 227 penumpang dan 12 kru, berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada 12.41 tengah malam 8 Mac sebelum hilang dari imbasan radar kira-kira sejam kemudian semasa berada di ruang udara Laut China Selatan.
Pada 24 Mac lepas, setelah 17 hari pesawat Boeing 777-200ER itu hilang, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan Penerbangan MH370 "berakhir di selatan Lautan Hindi".
Sementara itu, bagi isteri Azman, Zamzurina Zakaria, 43, ketiadaan suami selama menyertai operasi itu mencetuskan pelbagai emosi dalam dirinya.
"Masa mula-mula suami ditugaskan untuk misi ini, saya berasa sebak, takut dan pelbagai perkara bermain di fikiran tetapi sebagai seorang isteri tentera, saya terpaksa redha dan bersedia dari segi mental dan fizikal.
"Saya dan ketiga-tiga anak kami sentiasa merindui suami namun Alhamdulillah hampir setiap hari kami dapat berhubung dengannya sama ada melalui panggilan telefon dan video mahupun melalui mesej pesanan ringkas," katanya yang berniaga sendiri.
Beliau berkata antara perkara paling dibimbangi bila dimaklumkan suami bahawa pesawat terpaksa terbang rendah dan pernah berlaku taufan yang mengakibatkan mereka terpaksa menangguh operasi mencari.
"Biasanya, suami beritahu perkara-perkara tersebut selepas operasi dan tentunya timbul perasaan risau dan takut walaupun sudah berlalu. Saya banyak berdoa agar semuanya berjalan lancar dan selamat," katanya.
Bagi Siti Zanirah Ab Aziz, 34, mengawal emosi anak-anak yang masih kecil merupakan cabaran terbesar baginya ketika suaminya, Sarjan Mohd Nazri Mohamad, 34, berada di Perth bagi misi yang sama.
"Pada mulanya suami dijangka berada di sana hanya untuk dua minggu sahaja, jadi apabila dia belum pulang selepas tamat tempoh tersebut kerana dipanjangkan perkhidmatannya, anak-anak mula bertanya.
"Sebagai seorang ibu, saya merasa sebak apabila anak lelaki saya pernah menyatakan bahawa jika mampu, dia ingin ke Australia sendiri untuk mencari ayahnya," katanya yang kini sedang mengandung anak ketiga.
Dua pesawat C-130 Hercules TUDM yang menyertai misi pencarian pesawat MAS itu tiba kembali di Pangkalan Udara Subang pagi ini selepas bertolak dari Pangkalan RAAF Pearce lewat malam Selasa.
Seramai 19 pegawai dan 35 anggota lain-lain pangkat tiba dalam dua pesawat tersebut berikutan pengumuman penggantungan pencarian udara bagi memberi fokus kepada pencarian di kawasan dasar laut secara intensif.