MH370: Bila waktu paling sesuai untuk waris buat tuntutan?

Azyyati Ahmad
April 15, 2014 11:37 MYT
Analisis Awani
Keluarga waris penumpang pesawat MH370 yang hilang sejak 8 Mac lalu, boleh mula untuk membuat tuntutan pampasan ke atas insiden yang berlaku.
Peguam Tetuan Syed Iskandar Syed Jaafar, Dr. Syed Iskandar Syed Jaafar Al-Mahdzar berkata, tuntutan boleh dilakukan keluarga waris secara bersendirian ataupun secara berkumpulan.
Memberi contoh kejadian yang terjadi kepada nahas penerbangan Air France dahulu, syarikat insuran di sana telah bertindak dalam masa tiga minggu.
“Tidak perlu tunggu orang lain mulakan dahulu” katanya ketika menjadi salah seorang ahli panel di program Analisis AWANI.
Tambah Syed Iskandar, wang saguhati sebanyak AS$5000 dolar yang diberi syarikat Penerbangan Malaysia (MAS) sebelum ini bukanlah dikira sebagai sebahagian wang pampasan.
Namun, tindakan MAS itu harus dipuji kerana sejak dari hari pertama kejadian telah bertindak secara proaktif menjaga kebajikan waris keluarga MH370.
Sementara itu, ahli panel yang kedua, peguam Yusmadi Yusoff berkata bukan semua melihat wang pampasan sebagai satu noktah kepada tragedi kerana ramai waris sebenarnya mahukan kebenaran.
Menurut Yusmadi, dalam konteks ini, undang-undang mempunyai peranan mewujudkan satu keadaan yang telus atas pertimbangan tertentu untuk sesuatu keadaan yang tidak dapat dijelaskan seperti yang berlaku kepada tragedi pesawat MH370.
Mengenai bayaran pampasan, Syed Iskandar memberitahu tidak kira apa pun faktor yang menyebabkan kehilangan pesawat MH370, sekiranya penerbangan tidak tiba ke destinasi dalam masa dua hari pampasan perlu dibayar.
“Itu asas undang-undangnya dan pampasan adalah mengikut terma-terma insuran MAS” katanya.
Mengikut Akta Penerbangan Awam 1969, tuntutan mesti dimulakan oleh waris penumpang dan kru kabin dalam masa tiga bulan, walaupun Konvensyen Montreal (Konvensyen antarabangsa bagi menyatukan undang-undang tertentu bagi pengangkutan udara) memberi tempoh enam bulan.
Di akhir kata, Yusmadi turut menyeru agar waris-waris yang mempunyai hak untuk menuntut perlu wujudkan satu keadaan yang bijak atau ‘win-win’ antara kedua pihak.
Untuk melihat perbincangan penuh sila klik di sini.
#analisis awani #Dr. Syed Iskandar Syed Jaafar Al-Mahdzar #MAS #MH370
;