MH370: Bateri isyarat kotak hitam dijadual diganti pada Jun 2014 - MAS

Bernama
April 6, 2014 08:50 MYT
Ahmad Jauhari Yahya (kiri) pada taklimat mengenai operasi mencari pesawat MH370, Sabtu.
Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Airlines Ahmad Jauhari Yahya mengesahkan bahwa bateri isyarat kotak hitam pesawat Malaysia Airlines (MAS) Penerbangan MH370 yang hilang dijadualkan untuk diganti pada Jun tahun ini.
"Dalam hal bateri, kami sahkan bahawa terdapat program penyenggaraan dan bateri diganti sebelum tarikh luput dan kami sedar bahawa bateri itu dijadual untuk diganti baru hanya pada Jun 2014," kata beliau pada taklimat mengenai operasi mencari pesawat MH370 di Kuala Lumpur, Sabtu.
Beliau menjawab soalan daripada anggota hadirin sama ada bateri 'pinger' (isyarat) itu sepatutnya diganti baru pada 2012, sebagaimana didakwa oleh pengeluarnya Dukane Seacom Inc.
Pada Jumaat, presiden Dukane Seacom Inc, Anish Patel memberitahu CNN bahawa perakam berkenaan dijadual untuk diganti bateri pada 2012, tetapi bateri tidak pernah dikembalikan untuk senggaraan.
Semua pesawat komersil dikehendaki membawa alat pemantul isyarat dikenali sebagai 'underwater locator beacon' -- bagi membantu penyiasat mengesan kotak hitam jika pesawat terhempas dalam air.
Satu daripadanya dipasang di perakam data penerbangan (FDR), dan satu lagi pada perakam suara kokpit (CVR).
FDR dan CVR menjadi perakam penerbangan, juga dikenali sebagai kotak hitam. Isyarat itu berbunyi kira-kira sekali setiap saat, dan boleh dikesan dari jarak dua batu nautika oleh alat pengesan dipanggil 'towed pinger locators' (TPLs).
Kepada soalan mengenai bengkel avionic MAS, Ahmad Jauhari berkata bengkel itu menjalankan kerja-kerja membaiki dan servis kelengkapan avionic dalam semua pesawat, dan mempunyai sijil kelayakan berbuat demikian.
Mengulas mengenai kapasiti minyak penerbangan MH370 pada 8 Mac, Ahmad Jauhari berkata beliau sedar bahawa pesawat itu membawa minyak untuk penerbangan lapan jam.
Namun, angka sebenar masih berada pada pasukan penyiasat, kata beliau. "Daripada segi berat minyak, bila kita kira itu berbanding dengan isyarat terakhir yang diketahui, iaitu kira-kira 8.11 pagi, ia adalah kira-kira 8 jam penerbangan.
"Jadi kita tidak ada apa-apa (maklumat) lain selepas itu. Saya tahu mereka ingin mendapatkan lebih banyak (maklumat), tetapi itulah halnya. Pesawat hanya kehabisan minyak," kata beliau.
##MengenangMH370 #Ahmad Jauhari #Beijing #China #Kuala Lumpur #MAS #MH370 #penerbangan Malaysia
;