MH370: ABIM anjurkan kuliah tentang orang hilang
T K Letchumy Tamboo
April 11, 2014 08:00 MYT
April 11, 2014 08:00 MYT
Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) akan mengadakan kuliah Dhuha untuk memahami isu Fiqh orang hilang dengan lebih mendalam, susulan kejadian kehilangan pesawat MH370 bersama 239 penumpang.
Timbalan Presiden ABIM, Mohd Naim Mohd Noor berkata kuliah itu akan memberi pandangan Islam tentang orang yang hilang atau tidak diketahui statusnya serta tindakan waris yang selanjutnya.
“Dalam Islam, seseorang yang tiada apa-apa khabar dari suaminya atau isterinya perlu tunggu empat tahun sebelum pergi ke mahkamah untuk diputuskan bahawa orang yang hilang itu sudahmeninggal.
“Isteri atau suami yang hidup kemudiannya boleh berkahwin dengan orang lain dan harta pusaka orang yang hilang itu boleh diagihkan.
“Sekiranya orang yang hilang itu balik selepas suaminya atau isterinya telah bekahwin dengan orang lain, mereka boleh memilih untuk melepaskan suami atau isterinya, atau memilih pasangan hidup yang lain,” katanya kepada Astro AWANI.
Mohd Naim berkata beliau mengalu-alukan kedatangan orang ramai ke kulih itu untuk memahami isu itu dengan lebih mendalam.
Kuliah itu bakal berlangsung pada Sabtu, 12 April, di Masjid Hishamuddin, Bandar Baru Salak Tinggi, Sepang, dari pukul 8.30 pagi-10.30 pagi.
Kuliah yang merupakan usahasama ABIM dan Masjid Hishamuddin itu, akan dijalankan oleh Ustaz Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri.