MAS ketatkan tahap keselamatan dan prosedur pemantauan atas pesawat

Astro Awani
April 2, 2014 12:48 MYT
Syarikat Penerbangan Malaysia (MAS) mengesahkan telah mempertingkatkan taraf keselamatan dan prosedur pemantauan di atas kapal kepada semua pesawatnya.
Semua juruterbang dan anak kapal MAS dikatakan telah menerima kertas edaran peningkatan taraf keselamatan kokpit.
“Ya, MAS telah meningkat taraf keselamatan dan prosedur pemantauan di atas kapal bagi semua pesawat kami.
Walau bagaimanapun, bagi tujuan keselamatan kami tidak dapat mendedahkan prosedur berkenaan secara terbuka” kata wakil Jabatan Komunikasi MAS dalam satu kenyataan kepada Astro AWANI.
Sebelum itu, The Star melaporkan MAS telah mengetatkan peraturan dengan tidak membenarkan juruterbang atau pembantu juruterbang berada bersendirian di dalam kokpit.
Menurut peraturan tersebut, sekiranya salah seorang dari mereka mahu berehat atau ke tandas, salah seorang kru kapal perlu berada di dalam kokpit sehingga dia pulang semula.
Peraturan baru itu juga memerlukan kru kapal menjaga pintu kokpit agar orang awam tidak memasuki ruang tersebut ketika mereka menghantar makanan kepada juruterbang.
CNN juga melaporkan peraturan yang menghalang juruterbang atau pembantunya tinggal bersendirian di dalam kokpit.
#CNN #family #Jabatan Komunikasi MAS #MAS #MH370