Malaysia laksanakan sistem keselamatan baru di laluan masuk
Astro Awani
April 12, 2014 08:00 MYT
April 12, 2014 08:00 MYT
Malaysia sedang melaksanakan sistem keselamatan baru di laluan masuk negara khususnya di lapangan terbang ekoran tragedi MH370.
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata ia termasuk penambahbaikan sistem imigresen iaitu Sistem Pemeriksaan Penumpang (APSS) yang akan dilaksanakan pertengahan Jun.
Sistem baru itu bertujuan untuk mengelakkan penumpang asing yang disenaraihitam, disyaki pengganas atau penjenayah daripada memasuki Malaysia.
Beliau turut menambah bahawa pihaknya sedang meneliti kepakaran luar untuk memasang sistem berkenaan.
“Kita kini sedang dalam proses mengemukakan cadangan yang telah diterima dan sedang melihat kemungkinan untuk memasang sistem berkenaan daripada tiga syarikat asing, di mana mereka mencadangkan dua sistem dari Amerika Syarikat dan satu dari Eropah,” ujarnya.
Selain Malaysia, 30 negara lain juga akan memasang sistem yang sama pada Jun ini, termasuk Singapura, New Zealand, Australia, Kanada dan Amerika Syarikat.