Malaysia cadang sistem kesan pesawat dalam masa sebenar

Astro Awani
Mei 1, 2014 22:34 MYT
Malaysia mencadangkan kepada Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) supaya menyemak semula manfaat yang ada sekiranya diperkenalkan sistem pengesanan pesawat penerbangan komersial secara masa sebenar susulan kehilangan pesawat penerbangan Malaysia Airlines MH370 yang sehingga hari ini masih gagal dikesan.
Cadangan itu terkandung dalam laporan awal berhubung kehilangan pesawat penerbangan MH370 yang diserahkan oleh Malaysia kepada ICAO pada 9 April lalu.
"Biarpun pesawat penerbangan komersial menghabiskan masa yang banyak beroperadi di kawasan terpencil, pada masa ini tidak ada keperluan untuk mengesan pesawat berkenaan pada masa yang sebenar," kata laporan itu yang dikeluarkan kepada umum oleh Kementerian Pengangkutan hari ini.
Laporan Jabatan Penyiasatan Nahas Udara Malaysia itu merujuk kepada dua insiden dalam masa lima tahun lalu apabila pesawat penerbangan komersial hilang dan kedudukan terakhirnya tidak diketahui dengan tepat. Tiadanya maklumat itu menyukarkan usaha mengesan pesawat itu dengan segera, tambah laporan itu.
Laporan itu dikeluarkan bersama rakaman audio antara kokpit MH370 dengan pusat kawalan trafik udara Kuala Lumpur, senarai kargo serta kedudukan penumpang dalam pesawat.
Antara barangan yang berada di dalam senarai kargo adalah manggis dari syarikat Poh Seng Kian di Kesang, Muar, pakej kurier dan bateri ion litium dari syarikat NNR Global Logistics (M) Sdn Bhd.
Selain itu, laporan tersebut turut mengepilkan pelan tempat duduk penumpang di dalam pesawat dan lima rakaman audio di antara kokpit MH370 dan Menara Kawalan Udara Kuala Lumpur, iaitu rakaman dengan ATC Delivery, Lumpur Ground, Lumpur Tower, Lumpur Approach dan Lumpur Radar.
Laporan yang didedahkan kepada umum itu juga mengandungi maklumat tindakan yang diambil oleh pihak berkuasa antara pukul 1.38 pagi hingga 6.14 pagi Sabtu 8 Mac lalu selepas pesawat Malaysia Airlines itu dilaporkan gagal dikesan.
Laporan itu juga disertakan bersama sebuah peta yang menunjukkan kemungkinan laluan pesawat penerbangan MH370 selepas ia berpatah balik dari laluan Igari di Laut China Selatan dan lokasi tempat ia dikatakan berakhir di selatan Lautan Hindi.
"Laluan penerbangan ini berbeza berdasarkan kepada jangkaan kelajuan pesawat yang berlainan," kata kenyataan media Kementerian Pengangkutan itu.
Pesawat penerbangan MH370 yang dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing dikesan berpatah balik dari laluan asalnya kira-kira sejam selepas penerbangan dan kemudian hilang daripada radar lebih 50 hari lalu.
#MH370
;