Kerajaan ulangi komitmen dengan semangat baharu kesan MH370
Bernama
Jun 15, 2014 08:09 MYT
Jun 15, 2014 08:09 MYT
Kerajaan mengulangi komitmen dengan semangat baharu untuk mengesan pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370, 100 hari selepas kehilangannya.
Pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein juga memberi jaminan bahawa kerajaan akan meneruskan usaha melakukan yang terbaik dalam pencarian itu tanpa meninggalkan sebarang aspek.
"Selepas 100 hari kehilangan MH370, kehilangannya terus meninggalkan kesedihan kepada semua rakyat Malaysia dan di seluruh dunia. Usaha ini tidak boleh dihentikan sehingga MH370 ditemui.
"Kita tidak boleh dan tidak akan meminggirkan keluarga anak kapal dan penumpang MH370. Kami akan dengan izin Allah, mencari pesawat yang hilang ini dengan memulakan proses penyembuhan," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata Malaysia bertuah kerana tidak bersendirian dan menyampaikan ucapan terima kasih kepada rakan-rakan antarabangsa terutama rakan kongsi tiga negara - Australia, China (dan Malaysia) selain jiran negara Asean, Amerika Syarikat dan anggota Perjanjian Pertahanan Lima Negara (FPDA).
Hishammuddin juga percaya Malaysia akan dipuji kerana melakukan usaha terbaik dalam situasi hampir mustahil dan sejarah akan menilai negara, kerana melaksanakan usaha itu.
"Lebih 14 minggu telah berlalu sejak kerajaan Malaysia mula-mula menyelaraskan operasi pencarian pesawat. Usaha pencarian ini sukar dan kompleks membabitkan 26 negara semasa di kemuncaknya.
"Malaysia sebuah negara kecil tetapi berbangga kerana menjadi perintis - walaupun dikritik, kita membuktikan kepada dunia bahawa kita boleh bekerja bersama-sama, dalam semangat kemanusiaan dan keakraban," katanya.
Beliau berkata insiden seperti itu mengingatkan kita tentang kehidupan yang tidak terjamin dan menghargai ikatan sesama kita.
"Sebagai seorang bapa sempena Hari Bapa, saya memahami kesedihan yang dilalui oleh anggota keluarga. Tiada ungkapan yang dapat meringankan seksaan jiwa mereka kerana tidak mengetahui apa yang berlaku terhadap insan yang disayangi.
"Seperti lazimnya, saya menyampaikan ucapan simpati yang mendalam dan semoga berada dalam keadaan baik untuk semua anggota keluarga - di mana sahaja mereka berada.
"Dalam tempoh dugaan ini, kita bersatu dalam doa bersama, yakin kepada takdir, terutama menjelang sambutan bulan Ramadan, kita akan terus berharap semoga babak hitam dalam sejarah penerbangan global baru-baru ini, terungkai," katanya.
Hishammuddin juga menyampaikan penghargaan kepada golongan lelaki dan wanita yang mempertaruhkan nyawa mereka di barisan hadapan dalam usaha pencarian terbesar setakat ini.
"Bagi pihak kerajaan Malaysia, kami mengucapkan terima kasih untuk pengorbanan anda dan kita akan terus berdoa untuk keselamatan anda dalam mengemudi di perairan yang belum pernah diterokai itu," katanya.
Penerbangan MH370 dengan 227 penumpang dan 12 anak kapal itu hilang pada 12.41 tengah malam 8 Mac selepas sejam berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL dalam penerbangan ke Beijing.