Jawatankuasa akan ke Canberra dan Beijing untuk bincang usaha terbaru pencarian
Astro Awani
Jun 9, 2014 21:18 MYT
Jun 9, 2014 21:18 MYT
Kerajaan Malaysia akan mengadakan pertemuan dengan pasukan mencari dan menyelamat (SAR) di Canberra dan Beijing bagi membincangkan penempatan aset-aset dan fasa pencarian baharu untuk pesawat Malaysia Airlines (MAS) penerbangan MH370.
Timbalan Menteri Pertahanan yang juga merupakan ketua Jawatankuasa Penempatan Aset, Datuk Abdul Rahim Bakri akan mengetuai rombongan tersebut ke Canberra untuk mengatur dan menyelaras penglibatan Malaysia di dalam misi terbaru ini.
"Satu jawatankuasa kecil telah ditugaskan untuk menyelaras penglibatan Malaysia, terutama aset-aset yang berada di bawah pengawasan kerajaan Malaysia yang memenuhi syarat dan terma Biro Keselamatan Pengangkutan Australia.
"Kami juga akan berbincang dengan pihak-pihak yang terlibat untuk memutuskan cara terbaik mengurus dan menyelaraskan penempatan aset-aset yang dipinjam daripada Amerika Syarikat dan juga negara lain yang turut membantu," kata Pengerusi Jawatankuasa Perhubungan, Komunikasi dan Media, Datuk Jailani Johari di sidang media hari ini.
Sementara itu, Pengerusi Hal Ehwal Waris, Datuk Hamzah Zainuddin, akan ke Beijing untuk melihat dan mendapatkan laporan terkini tentang usaha-usaha yang telah dilakukan oleh Malaysia kepada semua waris penumpang pesawat MAS penerbangan MH370 yang hilang tersebut.
Selain Jawatankuasa Perhubungan, Komunikasi dan Media, kerajaan Malaysia telah menubuhkan tiga jawatankuasa kementerian yang baru iaitu Jawatankuasa Hal Ehwal Waris, Jawatankuasa Teknikal, dan Jawatankuasa Penempatan Aset untuk mengurus dan membantu melancarkan usaha terbaru pencarian pesawat MH370.
"Kami juga akan mengadakan pertemuan dengan wakil kerajaan China untuk melihat dan memahami sudut pandang serta usaha terbaru yang bakal mereka lakukan yang melibatkan operasi mencari dan menyelamat, pengurusan kebajikan waris-waris, penempatan aset dan pengkhususan tenaga kerja teknikal," tambah Jailani.
Pertemuan Najib, Hishamuddin dengan Voice370
Voice370, sebuah jawatankuasa antarabangsa yang mewakili waris mangsa MH370 telah mengajukan undangan kepada kerajaan Malaysia untuk mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Hishammuddin Hussein dan juga Hamzah.
"Pertemuan ini akan dijadualkan secepatnya dan kami mengalu-alukan sebarang bentuk kerjasama dalam menguruskan isu-isu berkaitan pengurusan hal ehwal waris," kata Jailani.
Kos pembayaran kontraktor swasta akan dikongsi 50-50
Berhubungan soal kos SAR, pembentangan soal tersebut telah dilakukan oleh Hishammuddin hari ini dan jumlah yang harus ditanggung oleh Malaysia adalah sebanyak RM27.6 juta pada fasa pertama operasi mencari dan menyelamat MH370.
Kos tersebut meliputi hal-hal logistik pasukan SAR dari Malaysia, termasuk minyak dan makanan.
Sementara itu, kos berkaitan dengan penyertaan kontraktor swasta bagi membantu operasi terbabit akan dikongsi sama rata di antara Malaysia dan Australia di mana Australia bertanggungjawab menguruskan operasi antarabangsa melalui Joint Agency Coordination Centre (JACC).
"JACC akan mengeluarkan tender kepada pihak-pihak yang berminat. Sehingga kini, jumlah penyertaan masih belum diketahui. Jumlah kos bagi operasi ini akan ditentukan dan dikongsi 50-50 di antara Malaysia dan Australia," tambah Abdul Rahim.