Isyarat 'ping' terbaharu diharap permudahkan siasatan polis - KPN
Bernama
April 8, 2014 08:07 MYT
April 8, 2014 08:07 MYT
Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berharap isyarat "ping" yang dikesan di selatan Lautan Hindi akan membantu mempermudah siasatan pesawat Malaysia Airlines, Penerbangan MH370 yang hilang sejak 8 Mac lalu.
Beliau berkata siasatan polis terhadap tragedi yang menimpa pesawat tersebut masih diteruskan dengan banyak lagi perkara yang perlu disiasat.
"Mudah-mudahan perkembangan terbaharu di mana kita dapat getaran "ping" itulah dia (MH370), dan akan memudahkan siasatan kita," katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian Kompleks Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Baharu oleh Sultan Kelantan Sultan Muhammad V di sini, pada Isnin.
Khalid berkata setakat ini polis sudah merakamkan lebih 180 percakapan bagi membantu siasatan kehilangan pesawat tersebut dan siasatan yang dijalankan adalah telus dan hasilnya akan diumumkan apabila sampai masanya.
Beliau berkata demikian ketika ditanya perkembangan terkini siasatan polis dalam pencarian pesawat tersebut yang hilang pada 8 Mac ketika dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing.
Penerbangan MH370, membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal, hilang daripada imbasan radar semasa berada di kawasan Laut China Selatan pada 8 Mac lepas, kira-kira sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL pada 12.41 tengah malam. Pesawat itu sepatutnya mendarat di Beijing 6.30 pagi hari sama.
Terdahulu semasa berucap pada majlis berkenaan, Khalid berkata pembinaan kompleks IPD Kota Baharu adalah di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan yang menelan belanja RM31.65 juta.
"Mula beroperasi sekitar November 2008, pembinaannya dapat membantu tugas-tugas anggota dan pegawai dan pembinaanya turut menjadi pusat utama 11 balai di sekitar daerah Kota Baharu," katanya.
Setakat ini sebanyak 66 pegawai kanan dengan 800 anggota dan 88 pegawai awam ditempatkan di kompleks itu merangkumi bangunan pejabat trafik dan Balai Polis Pengkalan Chepa.
Turut hadir Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob dan Ketua Polis Kelantan Datuk Jalaluddin Abdul Rahman.