Gambar pesawat MH370 sebelum hilang dikumpul
Astro Awani
April 10, 2014 12:38 MYT
April 10, 2014 12:38 MYT
Genap sebulan kehilangan MH370, rakyat seluruh dunia terus berharap dan berusaha kekal positif.
Bagi peminat fanatik bidang penerbangan dan pesawat, mereka mengumpulkan gambar-gambar pesawat MH370 yang sempat mereka rakamkan sebelum pesawat itu hilang sebagai memperingatinya.
Projek ini diterajui oleh pembikin filem dokumentari Raisch Studios, Michael Raisch.
Michael ingin memberikan satu platform kepada mereka yang terkesan sama ada secara langsung atau pun tidak dalam insiden kehilangan MH370 untuk meluahkan apa yang mereka rasai.
“Sambutan dari rakyat Malaysia cukup memberangsangkan. Hari ini hari keempat atau kelima sejak projek saya mendapat perhatian seluruh dunia. Saya ingin kekal dalam konteks Malaysia, saya rasa ia satu insiden yang cukup sukar untuk diterima oleh semua pihak. Pesawat yang cukup besar, boleh hilang begitu sahaja,” kata Raisch.
Ia juga sebagai memperingati pesawat itu yang banyak berjasa dalam menghubungkan manusia di seluruh pelusuk dunia selama hampir satu dekad.
Gambar-gambar tersebut dirakam sejak 5 Oktober 2004 bermula di Vienna, Austria ketika pesawat itu sedang bersedia untuk berlepas sehinggalah rakaman terakhirnya pada 28 Februari 2014 sebaik tiba di Los Angeles, Amerika Syarikat.
Pesawat penerbangan MH370, atau nama sirinya, 9M-MRO pastinya memberi kesan amat mendalam kepada jurugambar-jurugambar yang merakamkan fotonya .
“Melalui kerja saya, secara sengaja atau tidak, saya dapat membantu menyatukan semuanya kembali terhadap insiden yang masih tidak selesai ini. Dalam kerja-kerja yang saya, kebanyakkan melibatkan sejarah; melakar peristiwa-peristiwa penting,” tambahnya.
Sejak dimuat naik ke laman web pada 27 Mac lalu, Michael menerima banyak reaksi positif pelbagai pihak.