Gagal tingkatkan perisian berharga RM32 punca gagal dikesan?
Aizat Sharif
Mei 17, 2014 12:14 MYT
Mei 17, 2014 12:14 MYT
Pencarian pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH370 yang hilang sejak 8 Mac lalu telah menjadikan ianya sebagai misi pencarian terbesar dan termahal dalam sejarah pencarian pesawat hilang.
Namun begitu, terdapat dakwaan mengatakan bahawa pesawat tersebut mungkin dapat dikesan seandainya perisian pengesan pesawat yang hanya berharga 6 Pound Sterling (RM32.50) untuk sebuah pesawat dapat dipertingkatkan.
Laporan akhbar Daily Mail memetik sebuah buku ‘Flight MH370: The Mystery' pesawat Boeing 777-200ER mempunyai ‘pakej data’ yang hanya menghantar informasi terhad dan asas sesuatu pesawat yang menyukarkan pihak berkuasa untuk mengesan pesawat melalui GPS.
Pakej ini dapat dipertingkatkan dengan hanya harga enam pound sahaja dan kesudahannya ianya dapat memberikan informasi secara khusus mengenai pergerakan pesawat Boeing 777.
Buku yang ditulis oleh Nigel Cawthorne ini berkata “MAS dan beberapa lagi syarikat penerbangan telah memilih untuk menggunakan pakej data yang murah kepada pesawat-pesawat kelolaan mereka dimana hanya informasi minima sahaja yang mampu dihantar berbanding membayar tambahan sedikit peruntukan untuk satu penghantaran informasi data pesawat yang lebih khusus,”.
Dalam penerbitan buku ini, pelbagai teori melibatkan pesawat termasuk juga rangkuman kenyataan-kenyataan mengenai sistem pengesan pesawat yang diperolehi daripada akhbar Daily Telegraph.
“Hanya RM32.50, anda dapat mengetahui dalam masa setengah jam waktu penerbangan dimana pesawat tersebut telah pergi,” sumber akhbar itu berkata.
Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak telah meminta supaya penambahbaikan dalam sistem pengesanan waktu perjalanan sesebuah pesawat dan juga sistem komunikasi untuk mengelakkan daripada tragedi MH370 terjadi lagi.
Pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 dalam perjalanan ke Beijing dari Kuala Lumpur membawa seramai 239 penumpang dan anak kapal pada 8 Mac lalu.
Kurang sejam selepas ia berlepas, pesawat malang itu dilaporkan hilang dan pada 24 Mac lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengumumkan bahawa pesawat MH370 berakhir di selatan Lautan Hindi.