"Dalam situasi sukar, Australia buktikan nilai persahabatan" - Najib Razak
Arfa Yunus
April 3, 2014 13:09 MYT
April 3, 2014 13:09 MYT
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang berada di Perth untuk melihat perkembangan operasi mencari MH370 hari ini sekali lagi melahirkan rasa terima kasih kepada pihak berkuasa Australia dan negara-negara yang turut serta dalam misi ini.
“Dalam situasi yang sukar begini, Australia telah membuktikan persahabatan yang tidak ternilai kepada Malaysia.
“Pihak berkuasa Australia bersama-sama pihak berkuasa negara lain telah menawarkan bantuan tanpa teragak-agak mahupun kelewatan,” kata Najib pada sidang media bersama Perdana Menteri Australia, Tony Abbott di Perth Australia.
Najib turut mengucapkan terima kasih kepada kerajaan Australia yang telah bersetuju secara formal untuk mengetuai operasi menjejaki MH370 di Selatan Lautan Hindi selain turut serta dalam proses siasatan.
Beliau yang sebelum itu telah membuat lawatan ke Pangkalan Udara Pearce menjelaskan kesukaran yang dihadapi pasukan mencari selama lebih 20 hari telah bertungkus lumus menjalankan tugas di selatan Lautan Hindi.
“Semasa MH370 dilaporkan hilang, puluhan negara menyahut panggilan Malaysia yang memerlukan bantuan. Komitmen mereka memang tidak mungkin dapat kami lupakan,” tambah Najib.
Sementara itu, Tony Abbot pada sidang media yang sama mengingatkan ahli keluarga penumpang MH370 yang hilang sejak 8 Mac lalu supaya terus bersabar.
“Saya faham ini memang satu situasi yang sukar buat anda tetapi kami tidak akan menghampakan anda. Apabila tiba masa untuk anda datang ke Australia, kami akan memastikan lawatan anda dialu-alukan.
“Kami tidak dapat menjanjikan kejayaan mutlak dalam pencarian MH370, tetapi kami akan memastikan usaha yang diberi tidak akan berhenti sehinggalah kami telah melakukan usaha yang mampu dilakukan,” kata Abbott.
Menurut Abbott, misi pencarian MH370 ini merupakan misi paling sukar yang pernah dilakukan mana-mana negara dimana pasukan mencari terpaksa menempuhi pelbagai kesukaran – kawasan yang sangat terpencil, sukar dilalui selain keadaan lautan yang tidak menentu.
“Ini adalah misi paling sukar dalam sejarah dunia. Saya pasti setiap hari pasukan mencari melakukan yang terbaik dalam mendapatkan maklumat dan kami masih lagi sedang cuba untuk mencari jawapan kepada misteri ini,” tambahnya.
Perdana Menteri mengadakan lawatan kerja ke Perth, Australia selama dua hari bermula semalam bagi meninjau operasi pelbagai negara dalam pencarian pesawat Malaysia Airlines (MAS) penerbangan MH370, dari Perth.