Boeing lahirkan rasa prihatin atas penerbangan MH370

Astro Awani
Mac 8, 2014 21:22 MYT
Pembuat karpal terbang, Boeing melahirkan rasa prihatin yang mendalam terhadap keluarga penumpang penerbangan MH370, pesawat Boeing 777 Malaysia Airlines (MAS) yang hilang sejak awal pagi ini.
"Boeing merakamkan rasa prihatin yang mendalam kepada keluarga penumpang pesawat Malaysia Airlines MH370 yang hilang," pembuat kapal terbang berkata dalam satu kenyataan di laman webnya hari ini.
Boeing juga mengumumkan bahawa ia telah mengumpulkan pasukan teknikal untuk membantu dalam sebarang siasatan berkaitan MH370.
"Boeing sedang mengumpul satu pasukan untuk menyediakan bantuan teknikal kepada pihak berkuasa menyiasat," katanya.
Penerbangan MH370 menggunakan pesawat 777- 2H6ER Boeing yang dibeli pada tahun 2002. Ia mempunyai nombor pendaftaran 9M- MRO.
Ia dibina pada April 2002 dan diserahkan kepada MAS pada 31 Mei 2002, menurut data Aviation Weekly. Pesawat itu berusia hampir 12 tahun.
MH370 juga pesawat ke-404 model 777 yang dikeluarkan. Pesawat itu dikuasakan oleh enjin Rolls-Royce Trent 892.
Nahas lampau yang melibatkan pesawat yang mempunyai enjin yang sama adalah pada 17 Januari 2008. Sebuah Boeing 777- 236ER British Airways yang terbang dari Beijing ke London telah terhempas di lapangan terbang Heathrow.
Kedua-dua enjin Trent 800 itu hilang kuasa semasa pendaratan akhir pesawat itu. Penyiasat telah mendapati insiden itu disebabkan oleh pembentukan ais yang dibebaskan dari sistem bahan api yang tersekat pada enjin.
Kemalangan maut pertama dalam sejarah Boeing 777 adalah pada Julai 2013, apabila jet Asiana Airlines mendarat di landasan di San Francisco. Tiga daripada 307 orang di atas pesawat berkenaan meninggal dunia.
MAS pernah mengalami peristiwa membabitkan pesawat Boeing 777 pada bulan Ogos 2005. Semasa terbang 38,000 kaki ( 11,580 meter) melintasi Lautan Hindi, perisian pesawat membuat kesilapan mengukur kelajuan dan pecutan, menyebabkan pesawat tiba-tiba melonjak kepada 3,000 kaki ( 915 meter). Bagaimanapun ia mendarat dengan selamat di Perth.
#Boeing #Boeing 777 #MAS #MH370
;