Azharuddin bertemu keluarga penumpang di Hotel Everly

Bernama
April 4, 2014 08:55 MYT
Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam (DCA) Datuk Azharuddin Abdul Rahman meluangkan masa lebih tiga jam bertemu dengan kira-kira 20 anggota keluarga penumpang penerbangan MH370 yang ditempatkan di Hotel Everly, di sini malam ini.
Beliau tiba pada 8.30 malam bersama-sama Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan Datuk Seri Long See Wool dan beberapa pegawai kanan Malaysia Airlines (MAS) serta Malaysia Airports Holdings Berhad.
Azharuddin yang keluar meninggalkan dewan tempat pertemuan itu pada pukul 11.50 malam bagaimanapun enggan mengulas mengenainya ketika ditanya oleh pemberita yang menunggu di luar dewan tersebut.
Pemberita bagaimanapun difahamkan dalam pertemuan itu Azharuddin memberi taklimat mengenai perkembangan terkini usaha menjejaki pesawat tersebut yang dipercayai hilang di selatan Lautan Hindi.
Penerbangan MH370 yang membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada 12.41 tengah malam, 8 Mac, sebelum hilang daripada imbasan radar kira-kira sejam kemudian ketika terbang di ruang udara Laut China Selatan.
Pesawat sepatutnya mendarat di Beijing pada 6.30 pagi hari yang sama. Misi mencari dan menyelamat membabitkan pelbagai negara yang dilancar di Laut China Selatan kemudian diperluas ke Selat Melaka, Laut Andaman dan kemudian ke Lautan Hindi selepas data satelit menunjukkan pesawat itu mengubah haluan jauh daripada laluan asal.
Pada 24 Mac lalu, iaitu hari ke-17 misi menjejaki MH370, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan penerbangan MH370 berakhir di selatan Lautan Hindi, berdasarkan analisis data satelit Inmarsat dan siasatan Cawangan Siasatan Kemalangan Udara United Kingdom (AAIB).
#AZHARUDDIN ABDUL RAHMAN #DCA #Malaysia Airlines #MH370
;