Usaha mencari MH370 tidak dilupakan - Timbalan PM Australia
Bernama
Julai 25, 2014 17:03 MYT
Julai 25, 2014 17:03 MYT
Usaha mencari pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 yang hilang sejak 8 Mac lepas tidak dibayangi oleh tragedi MH17 yang terhempas pada minggu lepas, kata Timbalan Perdana Menteri Australia Warren Truss.
"Saya mahu memberi jaminan kepada anggota keluarga penumpang dan anak kapal MH370 bahawa kami tidak lupa akan pentingnya meneruskan usaha mencari pesawat itu; kami meneruskan misi mencari tanpa sebarang penangguhan," Truss dipetik berkata demikian kepada pemberita di Darwin pada Jumaat oleh Australian Associated Press (AAP).
MH370, membawa 239 penumpang dan anak kapal, hilang pada 8 Mac lepas dan kedudukan terakhirnya dipercayai di selatan Lautan Hindi.
Dunia mengikuti perkembangan nahas MH17 yang terhempas di timur Ukraine pada 17 Julai yang dipercayai ditembak jatuh menyebabkan semua 298 penumpang dan anak kapal terkorban.
APP memetik Truss sebagai berkata kapal China dan Australia sedang membuat pemetaan permukaan laut di kawasan yang akan dilakukan misi mencari di Lautan Hindi.
Menurutnya Canberra dalam masa terdekat akan mengeluarkan tender bagi penggunaan alat sonar bagi misi pencarian peringkat seterusnya membabitkan kawasan seluas 60,000 kilometer persegi.