Ukraine, Rusia tandatangan gencatan senjata
Astro Awani
September 6, 2014 08:10 MYT
September 6, 2014 08:10 MYT
Kerajaan Ukraine dan pemberontak Pro-Rusia menandatangani protokol awal sebagai memulakan gencatan senjata yang dipersetujui sebelum ini.
Presiden Ukraine, Petro Poroshenko berkata, ia dipersetujui dalam mesyuarat di Minsk, Belarus.
Gencatan berkuatkuasa pada pukul 6 petang Jumaat waktu tempatan atau 12 tengah malam waktu Malaysia.
Persetujuan dicapai disebalik pertempuran sengit dan kejadian berbalas-balas tembakan di Mariupol, timur Ukraine.
Tentera Ukraine cuba mempertahankan bandar itu daripada ditawan pemberontak Pro-Rusia.
Rundingan di Minsk disertai bekas Presiden Ukraine, Leonid Kuchma dan pemimpin dari Donetsk dengan kehadiran bersama pegawai Rusia dan Pertubuhan Kerjasama dan Keselamatan Eropah (OSCE).
Persetujuan gencatan menyusul tindakan Presiden Rusia, Vladimir Putin yang mengetengahkan pelan damai tujuh perkara.
Antara lain, ia merangkumi penggantungan operasi dan tindakan ganas oleh tentera Ukraine dan pemisah di kawasan konflik di timur negara itu.
Sebelum ini, pada Selasa, Rusia dan Ukraine memaklumkan mencapai kata sepakat untuk bersetuju dengan gencatan kekal di timur Ukraine.
Perkembangan itu sekali gus menjadikan peluang lebih cerah buat pasukan khas Malaysia untuk memasuki dan meneruskan kembali siasatan di kawasan nahas pesawat MH17 di Donetsk.
Serentak itu juga, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammudin Hussein ke Ukraine pada Isnin dengan agenda lawatan adalah mendapatkan persetujuan pasukan penyiasat kembali ke lokasi nahas MH17.