Saluran tidak rasmi bantu Malaysia dalam tragedi MH17 - Najib

Bernama
September 25, 2014 17:20 MYT
NAJIB: Malaysia terpaksa menggunakan saluran tidak rasmi dalam rundingan bagi mendapatkan mayat penumpang dan anak kapal pesawat MH17.
Malaysia terpaksa menggunakan saluran tidak rasmi dalam mengadakan rundingan untuk mendapatkan mayat penumpang dan anak kapal pesawat Malaysia Airlines Penerbangan MH17 yang ditembak jatuh di timur Ukraine pada Julai, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak.
Beliau berkata pendekatan di luar amalan biasa amat penting dan perlu ketika itu kerana Malaysia terpaksa melakukan diplomasi secara senyap tetapi perbincangan yang hasilnya berjaya dengan pihak pemisah.
"Kami sedar bahawa kami perlu bertindak dan kami bertindak dalam cara yang berbeza dan kami melakukannya di luar amalan biasa. Kami berunding dengan puak pemisah, sesuatu yang tidak pernah berlaku sebelum ini.
"Kerana biasanya, sebagai sebuah kerajaan, kita hanya berurusan dengan sebuah kerajaan lain. Tetapi di sini, ia merupakan sebuah pergerakan, pergerakan puak pemisah, dan wujud kebuntuan di sini.
"... dan kami tidak boleh mengeluarkn mayat; kami tidak boleh mendapatkan kotak hitam; kami tidak diberikan akses ke kawasan nahas itu," katanya kepada Christiane Amanpour dalam temu bual di CNN selama tujuh minit yang disiarkan hari ini.
Pesawat MH17 ditembak jatuh di timur Ukraine pada 17 Julai semasa dalam penerbangan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur dengan 283 penumpang dan 15 anak kapal.
Najib berkata mereka menemui jalan buntu semasa berunding dengan puak pemisah itu dan ini merupakan antara cabaran yang dihadapi kerajaan untuk mencari penyelesaian bagi pihak keluarga mangsa.
"Berlaku kebuntuan pada suatu ketika; kami tidak tahu berapa lama akan berterusan. Saya merasakan saya bertanggungjawab kepada keluarga yang terlibat. Itu yang membuatkan saya sedih, kerana bila saya bertemu mereka, saya berjumpa dengan setiap keluarga dan ia benar-benar menyentuh perasaan saya.
"Saya tersentuh. Saya hampir menangis. Saya dapat rasa apa yang mereka rasakan; saya amat simpati dan saya beritahu diri saya, sebagai pemimpin negara, saya perlu melakukan sesuatu dan saya perlu selesaikan untuk keluarga ini," katanya.
Ditanya sama ada kabinet Malaysia tahu mengenai tindakannya, Najib berkata beliau perlu membuat suatu keputusan dan menghubungi sendiri puak pemisah itu melalui telefon kerana ia merupakan isu yang amat sensitif.
Najib berkata puak pemisah itu bersetuju untuk membantu Malaysia, untuk menyerahkan mayat dan kotak hitam selepas beliau merayu kepada mereka.
"Saya merayu kepada mereka. Saya katakan kepada mereka yang ini perlu dilakukan kerana ada keluarga yang terlibat, mereka (mangsa) tiada kena mengena dengan apa yang mereka (puak pemisah) perjuangkan, mereka tidak terlibat dengan konflik geopolitik.
"Mereka ini tidak bersalah. Serahkan mayat mereka, serahkan kotak hitam kepada kami, saya merayu terhadap kata hati mereka," kata Najib.
Bila ditanya ada sesiapa yang akan mengakui terhadap apa yang berlaku, perdana menteri berkata fokus utama ialah untuk mendapatkan mayat dan kotak hitam, yang sebenarnya lebih mudah daripada mencari kebenaran mengenai tragedi ini.
Najib menarik perhatian bahawa walaupun siasatan awal mendapati pesawat itu ditembusi objek berkuasa tinggi, kebanyakan orang memikirkan tembakan itu daripada misil yang meletup di luar pesawat berkenaan, yang membuatkan pesawat itu berkecai di udara.
Sementara itu, mengenai alam sekitar, Najib berkata Malaysia dan negara Asia lain harus membantu satu sama lain dalam menetapkan sasaran pengurangan pengeluaran karbon.
"Saya berpendapat kami harus komited terhadap sasaran tertentu dan harus memegang tanggungjawab itu. Setiap negara besar atau kecil harus komited terhadap beberapa sasaran tertentu dalam isu pengurangan karbon
"Kami harus tetapkan secara khusus tetapi negara-negara sedang membangun mengharapkan sesuatu bantuan kerana mereka negara miskin. Mereka perlukan pertolongan. Mereka perlu membangun," katanya.
#Amanpour #CNN #MH17 #najib #Ukraine
;