Ribuan penduduk Rotterdam peringati pemilik restoran
Agensi
Julai 22, 2014 16:21 MYT
Julai 22, 2014 16:21 MYT
Ribuan orang meredah hujan menyertai perarakan senyap di Rotterdam, Netherlands pada Isnin bagi memperingati dua penduduk bandar raya itu yang terbunuh dalam nahas MH17. Kebanyakan mereka mengenakan pakaian putih dan membawa kuntuman bunga putih.
Jenny Loh, 54, warga Netherlands berasal dari Malaysia dan suaminya, Fan Shaun-po, 60, yang terbunuh dalam nahas itu adalah pemilik restoran terkenal, Asian Glories dan Dim Daily yang cukup popular di kota itu.
Mereka dalam perjalanan ke Pulau Pinang untuk menghantar ibu Jenny, Tan Siew Poh, 85, pulang selepas wanita itu datang bercuti menziarahi mereka di Rotterdam.
Majlis peringatan tersebut disertai antaranya oleh chef terkemuka, Herman den Blijker dan Datuk Bandar Rotterdam, Ahmed Aboutaleb, lapor Euronews.
Anak tunggal pasangan itu, Kevin Fan berkata beliau yakin ibu dan ayahnya mahu beliau tabah mengharungi saat-saat yang sukar ini.
"Biarpun mereka sudah tiada, semangat mereka masih ada bersama saya," katanya seperti dipetik oleh Algemeen Dagblad.
Kevin, 30, yang bekerja di restoran itu sejak lima tahun lalu berikrar akan meneruskan perniagaan ibu dan ayahnya.
Raja Belanda, Raja Willem-Alexander dalam ucapannya kepada negara berkata tragedi buruk itu meninggalkan luka yang amat mendalam kepada seluruh rakyat negaranya.
"Parutnya akan kekal dan nampak bertahun-tahun akan datang," katanya dalam ucapan yang disiarkan di televisyen pada Isnin.
Pihak berkuasa Belanda sudah memulakan siasatannya sendiri ke atas nahas itu atas tuduhan bunuh dan jenayah perang. Di bawah undang-undang antarabangsa, Netherlands boleh mendakwa individu yang melakukan jenayah perang ke atas warganya.
Sementara itu, satu majlis tafakur turut diadakan dekat Rijksmuseum di Amsterdam pada Isnin. Ia dianjurkan oleh orang ramai secara spontan melalui jaringan media sosial.
Daripada 298 orang yang terbunuh dalam nahas itu,193 adalah warganegara Netherlands.