Parlimen Ukraine sahkan perjanjian dua hala penugasan pasukan M'sia di lokasi nahas
Bernama
Ogos 13, 2014 20:57 MYT
Ogos 13, 2014 20:57 MYT
Parlimen Ukraine mengesahkan perjanjian dua hala semalam, yang membenarkan penugasan pasukan dari Malaysia di lokasi kemalangan Malaysia Airlines penerbangan MH17.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata kerajaan Malaysia mengalu-alukan perjanjian dua hala itu, yang secara rasmi membenarkan penugasan pasukan Malaysia di lokasi berkenaan.
"Sekarang masanya untuk melaksanakan tugas dengan berkesan," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Sejak akhir-akhir ini, Najib mengadakan pertemuan dengan beberapa kerajaan Eropah untuk membincangkan tentang MH17 dan susulan perbincangan beliau dengan Presiden Ukraine Petro Poroshenko, perjanjian dua hala itu disahkan.
Perjanjian itu membolehkan sehingga 90 petugas bukan tentera dari Malaysia untuk menyertai pasukan diketuai Netherlands dalam mempermudahkan tugas mencari mayat mangsa dan menjalankan siasatan seperti yang diperuntukkan dalam Resolusi 2166 Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.
Sebelum perjanjian itu disahkan, polis Malaysia dan pasukan penyiasat mengadakan operasi di lokasi kemalangan, bagaimanapun disebabkan keadaan tidak selamat, mereka tidak dapat untuk terus berada di lokasi terbabit.
"Saya memohon semua pihak supaya menghentikan pertempuran dan membenarkan akses penuh dan selamat kepada pasukan penyiasat antarabangsa untuk ke lokasi kemalangan," kata Najib.
Semalam, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar kembali dari Amsterdam bersama-sama 34 anggota polis yang menyertai misi mencari dan menyiasat pesawat MH17 yang dipercayai ditembak jatuh di Kharkiv, Ukraine.
Khalid berkata Polis Diraja Malaysia akan menugaskan semula pasukan khas ke lokasi kemalangan MH17 di timur Ukraine jika tentera Ukraine dan puak pemisah bersetuju mengadakan gencatan senjata di kawasan itu.
Penerbangan MH17 terhempas di timur Ukraine pada 17 Julai semasa dalam penerbangan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur dengan membawa 283 penumpang dan 15 anak kapal.
Pesawat Boeing 777-200 itu dipercayai ditembak di ruang udara negara yang sedang bergolak itu.