Op MH17 ditangguh gara-gara cuaca sejuk
Astro Awani
September 23, 2014 07:28 MYT
September 23, 2014 07:28 MYT
Pasukan Penyiasat Op MH 17 Polis Diraja Malaysia (PDRM) berkemungkinan besar tidak akan dapat memasuki lokasi nahas buat masa ini setelah mengambil kira faktor cuaca dan situasi keselamatan yang tidak mengizinkan di timur negara ini.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, bilangan pasukan penyiasat yang terdiri daripada 30 petugas ini akan dikecilkan mengikut kesesuaian dan selebihnya akan pulang ke tanah air dalam masa terdekat.
"Walaupun kita tidak dapat masuk ke lokasi nahas, ia bukan bererti misi ini gagal. Kita telah buktikan kepada seluruh rakyat Malaysia bahawa kita sanggup bertugas dalam apa jua situasi," katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu sesi perjumpaan bersama semua pegawai dan anggota yang terlibat dalam Op MH 17 PDRM di sini, pada Selasa.
Turut hadir SAC Datuk Wan Abdul Bari Wan Abdul Khalid, Ketua Jabatan Ketenteraman Awam Kuala Lumpur, selaku Ketua Delegasi PDRM di Ukraine, ACP Hussien Omar Khan, Komander DVI PDRM dan ACP Nik Aziz Nik Abd Razak, Penasihat Perhubungan PDRM ke United Kingdom, selaku Pegawai Perhubungan PDRM di Ukraine.
Penugasan ini dijangka akan disambung semula pada bulan April tahun hadapan sebaik sahaja musim sejuk berakhir.
Penerbangan MH17 terhempas di timur Ukraine pada 17 Julai ketika dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur membawa 283 penumpang dan 15 anak kapal.
Pesawat Boeing 777-200 itu dipercayai ditembak jatuh.
Daripada 43 rakyat Malaysia yang terkorban dalam nahas itu, mayat 41 orang terdiri daripada 26 penumpang dan 15 anak kapal sudah pun dikenal pasti.