MH17: Sultan Perak beri penghormatan terakhir kepada pembantu juruterbang

Astro Awani
September 2, 2014 05:48 MYT
Jenazah Allahyarham Muhamad Firdaus selamat tiba di Padang Speedy, Teluk Intan kira-kira jam 10.15 pagi tadi.
Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Shah dan Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim berkenan mencemar duli memberi penghormatan terakhir kepada jenazah pembantu juruterbang pesawat MH17, Allahyarham Muhammad Firdaus Abdul Rahim.
Jenazah Allahyarham Muhamad Firdaus selamat tiba di Padang Speedy, Teluk Intan kira-kira jam 10.15 pagi tadi.
Turut sama dalam istiadat tersebut ialah Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir bersama isteri, Datin Seri Saripah Zulkipli serta ahli parlimen Teluk Intan, Datuk Mah Siew Keong dan barisan exco kerajaan negeri serta ketua-ketua jabatan kerajaan.
Ketibaan jenazah Allahyarham Muhammad Firdaus yang diterbangkan khas menggunakan helikopter TUDM dari Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) disambut oleh sanak saudara Allahyarham dalam suasana sedih dan pilu.
Sebaik helikopter mendarat, keranda jenazah Allahyarham Muhammad Firdaus diusung anggota Rejimen 503 dan dua Skuadron Semboyan Diraja diiringi bacaan surah Al-Fatihah dan bertafakur seminit sebagai tanda penghormatan terakhir sebelum jenazah dibawa ke Masjid Al-Naim, Taman Seri Setia untuk disembahyangkan.
Jenazah Allahyarham kemudian dibawa ke tanah perkuburan Islam Jalan Merbuk untuk dikebumikan.
#MH17