MH17: Sampel DNA anak mangsa diambil

Astro Awani
Julai 24, 2014 19:11 MYT
Tan menaiki pesawat MH17 bersama anak perempuannya Jenny Loh (kiri) dan suami Fan Shun warga Belanda yang memiliki restoran di Rotterdam
Jabatan Perubatan Forensik Hospital Seberang Jaya telah mengambil satu lagi sampel DNA daripada anak kepada salah seorang mangsa nahas pesawat Malaysia Airlines MH17.
Pasukan forensik itu tiba di kediaman , Tan Siew Poh, 85, di Lorong Delima Di Gelugor pada jam 2.45 tengah hari dan proses itu selesai kira-kira jam 3.45 tengah hari tadi.
Anak lelaki kepada Tan yang hanya mahu dikenali sebagai Loh itu, menolak sebarang temubual oleh wakil media namun selepas lebih sejam melihat wakil media menunggu di halaman rumahnya, beliau keluar dan meminta agar tidak diganggu pada masa ini.
Ketika diminta pengesahan sama ada benar ahli keluarganya yang maut dalam nahas MH17, Loh mengesahkan mangsa adalah ibunya dan memaklumkan sampel DNA telah diambil bagaimanapun tidak mengetahui bila mayat ibunya akan di bawa pulang.
Difahamkan Tan menaiki pesawat MH17 bersama anak perempuannya Jenny Loh Yan Hwa, 54 tahun dan suaminya Fan Shun Po, 60 tahun warga Belanda yang memiliki restoran di Rotterdam.
Setiap tahun pasangan itu menaiki penerbangan terus dari Rotterdam ke Hong Kong tetapi kali ini menaiki MH17 daripada Amsterdam ke Kuala Lumpur kerana ingin pulang ke Malaysia bersama ibunya yang datang menziarahi mereka di Rotterdam.
Tan adalah salah seorang daripada 298 penumpang yang terkorban dalam nahas MH17 yang ditembak jatuh di timur Ukraine pada 17 Julai lalu.
Selain Tan, dua lagi anak kapal Nurshazana Mohd Salleh dan Sanjid Singh Sandhuyang yang berasal dari Pulau Pinang turut terkorban dalam nahas tersebut.
#Amsterdam #Kuala Lumpur #Malaysia Airlines #MH17 #Rusia #Ukraine
;