MH17: Rutte berjumpa Putin desak kerjasama menyeluruh

Agensi
Oktober 17, 2014 10:12 MYT
RUTTE: Ini satu subjek yang penuh emosi dan sudah pasti saya berang terhadap pihak-pihak yang menjadikan usaha untuk ke tapak nahas suka. - Gambar Fail
Perdana Menteri Belanda, Mark Rutte telah bertemu Presiden Rusia Vladmir Putin bagi menuntut “kerjasama sepenuhnya” terhadap siasatan berhubung insiden menembak jatuh pesawat malang Penerbangan Malaysia MH17, seorang ahli politik negara itu memaklumkan.
“Saya baru sahaja bercakap dengan presiden Putin di Milan dan menuntut beliau memberikan kerjasama sepenuhnya bagi membantu menyelesaikan misteri tragedi pesawat MH17,” kata Rutte dalam tweetnya pada lewat Khamis.
Lapor media Belanda, Rutte bertemu Putin secara berasingan di Sidang Kemuncak Asia-Eropah (ASEM) yang berlangsung di Milan, Itali.
“Ini satu subjek yang penuh emosi dan sudah pasti saya berang terhadap pihak-pihak yang menjadikan usaha untuk ke tapak nahas sukar,” tulis Rutte di laman Facebooknya.
“Kini ia bergantung kepada kita untuk mencapai matlamat. Saya akan ambil apa juga kesempatan yang ada untuk mengenengahkan isu ini,” tambahnya lagi.
Empat penyiasat Belanda kembali ke tempat nahas pada Isnin di timur Ukraine yang dikuasai kumpulan pemberontak pro-Rusia tetapi Rutte dan pegawai Belanda masih tidak berpuas hati dengan kegagalan memberikan laluan selamat ke tempat nahas.
Hasil laporan awal oleh penyiasat Belanda mendapati pesawat MH17 berkecai di udara dipercayai ditembak jatuh oleh senjata seperti peluru berpandu.
Kiev dan negara Barat mendakwa kumpulan pemisah menggunakan peluru berpandu jenis BUK yang dikeluarkan oleh pihak Rusia. Moscow bagaimanapun menafikan dakwaan itu.
Pakar forensik Belanda sebelum ini memberhentikan usaha pencarian mereka awal bulan Ogos kerana kejadian tembak-menembak masih berterusan di sana.
Pesawat MH17 dipercayai ditembak jatuh di sempadan Ukraine dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur sebelum terhempas di Donetsk, Timur Ukraine pada 17 Julai lepas.
#Amsterdam #Kuala Lumpur #Malaysia Airlines #Mark Rutte #MH17 #Rusia #Ukraine
;