MH17: Pesawat MAS bawa pulang jenazah diberi laluan istimewa

Harris Hardy Hakim
Ogos 24, 2014 02:31 MYT
MISSMAN: Negara-negara yang mengawal ruang udara di sepanjang laluan penerbangan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur memberikan kerjasama yang sangat baik sebagai penghormatan kepada waris mangsa - Foto Astro AWANI / HARRIS HARDY
Pesawat Malaysian Airlines, MAS yang membawa pulang jenazah mangsa tragedi pesawat MH17 diberi 'laluan istimewa' ketika penerbangan pulang ke tanah air.
Negara-negara yang mengawal ruang udara di sepanjang laluan penerbangan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur memberikan kerjasama yang sangat baik sebagai penghormatan kepada waris mangsa serta rakyat Malaysia yang sedang bersedih dengan tragedi berkenaan.
Ketua Juruterbang, Datuk Kapten Missman Leham berkata pada kebiasaannya setiap pesawat perlu melaporkan kedudukan mereka dan meminta kebenaran ketika hendak memasuki dan melintasi ruang udara negara asing.
Beliau menceritakan pengalamannya membawa pesawat MH6129 yang membawa 20 jenazah tragedi MH17 Jumaat lepas.
"Kali ini agak berbeza, mereka seolah-olah memberikan penghormatan kepada kita. Terutama macam negara Iran contohnya, mereka selalunya akan bertanya apakah nombor kemasukan kita (entry number).
"Tapi kali ini dari jauh lagi mereka telah memberikan kebenaran untuk pesawat kita melintas. Maknanya kita boleh terbang tanpa halangan," kata beliau ketika ditemui media selepas menghadiri Istiadat Penghormatan Jenazah Tragedi Pesawat MH17 di Kompleks Bunga Raya, KLIA hari ini.
"Mereka tahu kita membawa kargo yang sangat penting (jenazah mangsa) dan mereka memberikan penghormatan yang tinggi kepada kita."
Missman berkata beliau juga merasa sangat berbangga dan terharu kerana diberi kepercayaan oleh MAS untuk membawa pulang jenazah penumpang serta anak kapal MH17 kembali ke tanah air dari Amsterdam.
"Saya dipilih oleh MAS untuk menerbangkan pesawat ini kerana mereka mahukan seorang juruterbang yang senior. Saya amat berbesar hati kerana dapat memberikan khidmat serta pengormatan terakhir kepada rakan yang terkorban serta penumpang MH17."
Katanya disepanjang penerbangannya itu hatinya sebak mengingati mereka yang telah pergi.
"Masuk sahaja pesawat, saya merasa sebak kerana teringatkan rakan-rakan yang telah terkorban dan dugaan yang terpaksa dilalui keluarga mereka."
"Apa yang saya mampu lakukan untuk mereka ialah di sepanjang penerbangan saya bertafakur dan banyak mensedekahkan Al-Fatihah kepada mereka."
"Ketika hendak mendarat, saya berbisik di dalam hati, Alhamdulillah kita sudah selamat sampai dan sebentar lagi anda semua akan dapat bersama dengan keluarga tersayang."
#Amsterdam #Kuala Lumpur #Malaysia Airlines #MH17 #Missman Leham #Rusia #Ukraine