MH17: Malaysia berjaya perolehi perjanjian benarkan polis di tapak kejadian

Agensi
Julai 27, 2014 10:53 MYT
Seramai 68 anggota polis Malaysia akan berlepas dari Kuala Lumpur ke lokasi kemalangan pada hari Rabu. -Foto fail
Kerajaan Malaysia pada Ahad berkata ia memperolehi perjanjian dengan puak pemberontak Ukraine untuk membolehkan anggota polis antarabangsa memasuki lokasi kemalangan penerbangan MH17.
Polis akan dibenarkan untuk memasuki kawasan timur Ukraine "untuk menyediakan perlindungan kepada pasukan penyiasat kemalangan antarabangsa,” kata satu kenyataan yang dikeluarkan Pejabat Perdana Menteri.
Pemimpin kumpulan pemisah dan Perdana Menteri Republik Rakyat Donetsk, Alexander Borodai dikatakan telah bersetuju pada Ahad untuk membolehkan khidmat polis antarabangsa digunakan.
"Saya amat bimbang bahawa penyiasat antarabangsa telah tidak boleh pergi ke lokasi kemalangan kerana keadaan keselamatan yang tidak menentu," kata Najib dalam kenyataan itu.
"Saya berharap bahawa perjanjian dengan Borodai akan memastikan keselamatan di lokasi, maka pihak penyiasat antarabangsa boleh menjalankan tugas mereka."
Tambah kenyataan itu, Malaysia akan bekerjasama "dengan rapat" bersama Belanda dan Australia untuk menempatkan anggota polis dengan butirannya masih dalam perbincangan.
Seramai 68 anggota polis Malaysia akan berlepas dari Kuala Lumpur ke lokasi kemalangan pada hari Rabu.
Pesawat Malaysia Airlines, yang membawa 298 orang, terhempas di timur Ukraine pada 17 Julai. Ia dipercayai telah ditembak jatuh oleh peluru berpandu. Ramai daripada penumpang pesawat itu merupakan warga Belanda.
#Malaysia #Malaysia Airlines #MH17 #Ukraine