MH17: Jenazah Tambi Jiee dan Benjamin Lee diberikan penghormatan terakhir

Bernama
September 9, 2014 02:34 MYT
Pesawat yang membawa jenazah Tambi Jiee dan kanak-kanak Benjamin Lee Jian Han berumur setahun, tiba pukul 8.28 pagi - Foto Astro AWANI
Kompleks Bunga Raya Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA), sekali lagi diselubungi suasana pilu pagi ini, sebaik pesawat yang membawa dua jenazah mangsa tragedi pesawat Malaysia Airlines MH17 tiba di pekarangan kompleks.
Pesawat yang membawa jenazah Tambi Jiee dan kanak-kanak Benjamin Lee Jian Han berumur setahun, tiba pukul 8.28 pagi dan istiadat penghormatan sama seperti sebelum ini diberikan kepada kedua-dua jenazah.
Hadir sama memberikan penghormatan terakhir ialah Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rohani Abdul Karim dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom.
Sejurus keranda jenazah pertama Tambi diusung keluar dari pesawat pukul 8.37 pagi, disusuli keranda yang disimpan abu Benjamin Lee pada 8.40 pagi, suasana hiba menyelubungi khemah yang menempatkan waris kedua-dua mangsa.
Waris mangsa turut kelihatan mengalirkan air mata sambil berpelukan antara satu sama lain.
LIHAT GALERI FOTO ISTIADAT PENGHORMATAN KETIBAAN JENAZAH
Sebaik selesai keranda kedua-dua mangsa dimasukkan ke dalam kenderaan jenazah, semua yang hadir pada istiadat itu berdoa dan bertafakur selama seminit pada pukul 8.44 pagi sebagai tanda penghormatan.
Kenderaan jenazah kemudian beredar meninggalkan pekarangan Kompleks Bunga Raya pada 8.46 pagi.
Jenazah Tambi kemudian diterbangkan ke Kuching, Sarawak dengan pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia Hercules C130 untuk disemadikan bersama isteri dan anaknya yang turut terkorban dalam kejadian malang itu.
Isteri Tambi, Ariza Ghazalee, 46, dan anak sulungnya, Muhammad Afif, 19, dikebumikan pada 22 Ogos lepas.
Tambi kakitangan Shell yang bertugas di Khazakhstan sejak tiga tahun lalu, berada dalam pesawat MH17 itu bersama isteri dan empat orang anaknya.
Mereka dalam perjalanan pulang ke Malaysia sebelum Tambi kembali bertugas di Ibu Pejabat Shell di Kuala Lumpur.
Sementara keranda jenazah Benjamin Lee dibawa dengan kenderaan jenazah ke Pusat Xiao En Bereavement di Cheras.
Benjamin Lee ialah anak kepada pensyarah Universiti Malaysia Sabah (UMS) Ng Shi Ing yang turut terkorban dalam insiden sama.
Pada 24 Ogos lepas, abu mendiang ibunya, Ng dan ibu saudaranya, Elisabeth Ng Lyeti disimpan di pusat yang sama.
Mereka terkorban dalam perjalanan pulang selepas menemani ibunya Ng yang menghadiri persidangan di University of Antwerp, Belgium.
LIHAT GALERI FOTO DALAM KENANGAN WAJAH-WAJAH MEREKA YANG TERKORBAN
Dengan ketibaan jenazah kedua-dua rakyat Malaysia itu, sebanyak 35 mangsa MH17 dibawa pulang ke Malaysia termasuk seorang penumpang dengan dua kerakyatan (Loh Yan Hwa) dan dua warga Belanda (Paul Goes dan Fan Shun Po).
Pesawat MH17 yang membawa 298 penumpang dan anak kapal dari Amsterdam ke Kuala Lumpur terhempas pada 17 Julai lalu, selepas ditembak jatuh di wilayah Donetsk, timur Ukraine.
#Amsterdam #Benjamin Lee #Kuala Lumpur #Malaysia Airlines #MH17 #Rusia #tambi jiee #Ukraine