MH17: Jenazah pembantu juruterbang dijangka tiba esok

Astro Awani
Ogos 21, 2014 16:54 MYT
Allahyarham yang sudah lebih empat tahun menyertai MAS sebagai pembantu juruterbang meninggalkan seorang isteri dan seorang anak. - Gambar Fail
Antara jenazah mangsa nahas MH17 yang dijangka tiba di KLIA esok ialah pembantu juruterbang Ahmad Hakimi Hanapi, 29 tahun.
Berita tersebut nyata mengembirakan datuk dan nenek mangsa, Daud Abdul Kadir, 80, dan Zaleha Bawal Khan, 73, kerana hasrat untuk melihat jenazah cucunya itu bakal kesampaian.
Menurutnya, keluarga Hakimi termasuk anaknya Noriah kini sudah berada di Kuala Lumpur untuk menyambut ketibaan jenazah mangsa esok yang akan dikebumikan di Putrajaya.
"Syukur kepada Tuhan kerana jenazah Hakimi selamat. Tiada cacat cela pada tubuh dia. Syukurlah dan bila dengar berita itu, seluruh keluarga saya gembiralah kerana keadaan dia sempurna,” kata Daud.
Katanya lagi, kesemua ahli keluarga, termasuk sepupu dan emak saudara dari Melor, sudah berlepas ke Kuala Lumpur semalam dan hari ini bagi menyambut ketibaan jenazah.
Beliau juga mengucapkan terima kasih dan penghargaan kepada kerajaan serta Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak kerana menguruskan usaha membawa balik cucunya untuk dikebumikan di sini.
Katanya, apa yang penting sekarang ialah kesabaran dalam menahan kerinduan terhadap mangsa selepas menerima jenazahnya nanti.
Sementara itu, nenek Hakimi, Zaleha Bawal Khan turut gembira dengan perkhabaran ini.
Walaupun sedih mengenangkan tragedi yang menimpa cucunya yang disifatkan seorang yang terlalu baik dan menghormati orang tua, beliau tetap bersyukur kerana dapat melihat jenazah cucunya buat kali terakhir.
Menurut Zaleha lagi, Allah telah menentukan kesudahan cucunya namun bersyukur kerana jasad mangsa dalam keadaan baik dan dapat dibawa pulang dalam tempoh yang singkat.
Allahyarham Hakimi yang sudah lebih empat tahun menyertai MAS sebagai pembantu juruterbang meninggalkan seorang isteri, Sharifah Asma’a Syed Alwi Al Junied, dan seorang anak, Abderrahman yang baru berusia setahun.
#Ahmad Hakim Hanapi #Malaysia Airlines #MAS #MH17
;