MH17: Dua lagi mayat warga Malaysia dikenal pasti

Bernama
Ogos 17, 2014 18:37 MYT
MH17 yang membawa 298 orang termasuk 15 anak kapal, terhempas di wilayah Donetsk, timur Ukraine.
Pihak berkuasa Belanda mengenal pasti dua lagi mayat warga Malaysia bukan beragama Islam, menjadikan setakat ini 26 jenazah rakyat Malaysia mangsa tragedi pesawat Malaysia Airlines (MAS) Penerbangan MH17 yang disahkan identiti mereka.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Wee Ka Siong berkata perkembangan terbaharu itu telah dimaklumkan kerajaan Belanda kepada Kedutaan Malaysia dan MAS.
"Saya dimaklumkan mengenai perkara itu dalam perjumpaan dengan Duta Besar kita di Belanda Datuk Dr Fauziah Mohamad Taib dan Naib Presiden Perkhidmatan Operasi MAS Datuk Baharom Mohd Yatim pada Sabtu.
"Perkara ini telah dimaklumkan kepada keluarga. Proses dokumentasi kini sedang dijalankan dan akan disiapkan secepat mungkin sebelum upacara sembahyang atau pembakaran mayat dilakukan," kata Dr Wee kepada Bernama lewat Sabtu.
"Juga untuk makluman, kedua-dua kerajaan sedang berusaha keras bagi memastikan dua mayat ini dapat dihantar pulang segera," katanya.
Pada 14 Ogos lepas, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata 24 jenazah rakyat Malaysia mangsa tragedi MH17 telah dikenal pasti oleh pihak berkuasa Belanda, iaitu 14 penumpang dan 10 anak kapal.
Beliau turut berkata, 16 jenazah mangsa nahas yang berlaku 17 Julai itu, termasuk seorang bukan warga Malaysia, akan dihantar pulang ke Kuala Lumpur dengan sebuah pesawat khas yang dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 10 pagi, Jumaat ini.
Tarikh itu juga diumum sebagai hari berkabung negara dan satu istiadat penghormatan jenazah mangsa tragedi itu akan diadakan pada hari berkenaan di Kompleks Bunga Raya, KLIA.
Dalam pada itu, Wee yang sebelum ini telah dilantik untuk menguruskan proses pengurusan mayat rakyat Malaysia beragama Buddha, berkata pihaknya menjangkakan untuk mengumpul semua abu dan mayat bukan Islam pada Khamis untuk proses penghantaran pulang ke Kuala Lumpur.
Menurutnya, perbincangan berterusan dengan kerajaan Belanda sentiasa diadakan dan dikemas kini bagi memastikan segala prosedur operasi standard dan dokumentasi dilakukan dengan betul dan lancar.
Mengulas kehadiran pelbagai ketua agama bukan Islam yang dibawa khas dari Malaysia untuk upacara pengurusan mayat dalam konteks keagamaan, Wee berkata pihaknya berpuas hati dengan sambutan baik yang diberikan untuk penyempurnaan upacara berkaitan.
"Kita tidak tahu bila lagi akan ada mayat bukan Islam untuk diletakkan di bawah mereka selepas ini dan oleh itu kita akan terus berbincang dan bekerjasama untuk memastikan upacara ini terus berjalan lancar.
"Kita juga dapat sambutan yang sangat baik daripada persatuan Buddha di sini untuk sukarela adakan sendiri atau menyertai upacara pengurusan mayat," tambahnya.
Dilapor Ketua Agama Buddha Sing Han, Ketua Agama Tao Daozhang Tan Boon Sin, Ketua Agama Hindu S. Mohanshan dan Ketua Agama Sikh Sardar Harcharan Singh diterbangkan khas dari Malaysia sejak beberapa hari lepas untuk upacara pengurusan mayat bukan Islam.
Penerbangan MH17 milik Malaysia Airlines yang membawa 298 orang termasuk 15 anak kapal, terhempas di wilayah Donetsk, timur Ukraine berhampiran sempadan Rusia, dipercayai akibat ditembak jatuh.
#Amsterdam #Kuala Lumpur #Malaysia Airlines #MH17 #Rusia #Ukraine #Wee Ka Siong
;