MH17: Anak saudara juruterbang reda jika hanya terima cebisan tubuh
Bernama
Julai 27, 2014 17:14 MYT
Julai 27, 2014 17:14 MYT
"Jika mayat bapa saudara saya tidak sempurna, sekurang-kurangnya cebisan anggota tubuhnya sudah memadai agar ada pusara untuk diziarahi pada bulan Syawal," kata Nur Suazlin Dusuki, anak saudara
juruterbang Penerbangan MH17 yang terhempas di timur Ukraine, 17 Julai lalu.
Suazlin, 25, berkata keluarganya bersedia menerima jasad Kapten Wan Amran Wan Hussin, 50, sekalipun jika ditakdirkan jenazahnya tidak sempurna.
"Saya kini dapat menerima hakikat bahawa ayah Ran (panggilan Wan Amran) telah pergi buat selama-lamanya dalam keadaan yang amat tragis," katanya ketika dihubungi di kediamannya di Kuala Kangsar, Perak hari ini.
Menurut Suazlin keluarganya belum memutuskan lokasi pengebumian namun berkemungkinan besar akan disemadikan di Putrajaya bagi memenuhi permintaan isteri arwah.
Semalam seorang anggota Pasukan Penyelamat Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) daripada Tentera Udara Diraja Malaysia, Koperal Constatine Anji, 29, berkata kebanyakan mayat mangsa dilihat tidak sempurna.
Penerbangan MH17 dari Amsterdam ke Kuala Lumpur dengan 298 penumpang dan anak kapal terhempas di Donetsk, Timur Ukraine, dipercayai akibat ditembak.