MH17: Abbot tidak sabar mahu bersemuka Putin
Astro Awani
Oktober 13, 2014 18:08 MYT
Oktober 13, 2014 18:08 MYT
Perdana Menteri Australia, Tony Abbott hari ini berikrar untuk bersemuka dengan Presiden Rusia, Vladimir Putin sempena Sidang Kemuncak G20 bulan depan bagi menyuarakan tentang kehilangan nyawa warga Australia dalam nahas pesawat MH17 di Ukraine.
Brisbane bakal menjadi tuan rumah sidang berkenaan dan persoalan yang muncul kini adalah mengenai kehadiran Putin. Walau bagaimanapun, Menteri Perbendaharaan Australia, Joseph Benedict Hockey, yang sebelum ini mempertikaikan usaha Rusia terhadap tragedi itu telah mengesahkan kehadiran Putin.
Abbott telah banyak kali bertegas dengan Rusia sejak pesawat tragedi Penerbangan Malaysia ditembak jatuh di Timur Ukraine dan mengorbankan kesemua 298 penumpang dan anak kapal, termasuk 38 warganegara dan pemastautin Australia.
"Saya akan berdepan dengan Putin. Saya akan katakan padanya bahawa rakyat Australia telah dibunuh dan mereka yang bertanggungjawab ialah puak pemisah yang disokong Rusia. Kita amat marah dengan perkara tersebut.
"Kita sekarang mahu mendesak Rusia untuk berikan kerjasama penuh dalam siasatan. Jika siasatan jenayah itu mengenal pasti suspek yang ada kaitan dengan Rusia, mereka perlu ditangkap dan dihadapkan ke muka pengadilan,” tegas Abbot.
Kiew dan dunia Barat mendakwa puak pemisah yang disokong Moscow itu telah menembak jatuh pesawat MH17 menggunakan sistem peluru berpandu permukaan-ke-udara BUK yang dibekalkan Rusia. Moscow bagaimanapun menafikan dakwaan tersebut dan kembali menyalahkan Kiev.
Sebelum ini Australia agak keberatan untuk membenarkan Putin menghadiri G20, namun ahli G20 menyatakan bahawa pemimpin Rusia itu perlu berbuat demikian bagi menangani ketegangan geo-politik yang berlaku.
"Saya dapat rasakan pertemuan dengan Putin bakal menjadi perbincangan yang tegang,” kata Abbot.
Sidang Kemuncak G20 akan dilangsungkan pada 15-16 November nanti.