Malaysia, Belanda bersama desak akses masuk ke tapak nahas MH17

AFP
November 5, 2014 15:27 MYT
Najib dan Rutte mahu semua pihak terlibat ber kerjasama penuh dalam usaha memasuki kawasan tapak nahas MH17. - Foto fail
Kedua-dua pemimpin tertinggi Malaysia dan Belanda hari ini berikrar untuk terus mendesak akses masuk ke tapak nahas pesawat Penerbangan Malaysia MH17 yang ditembak jatuh di Ukraine demi mengheret pihak bertanggungjawab ke muka pengadilan.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menyambut rakan sejawatan dari Belanda, Mark Rutte di Putrajaya untuk membincangkan aspek penyiasatan terhadap tragedi yang berlaku pada 17 Julai lalu itu.
Dalam penerbangan yang berlepas dari Amsterdam menuju Kuala Lumpur itu, seramai 298 orang telah terkorban termasuk 193 warga Belanda dan 44 warga Malaysia akibat ditembak jatuh di wilayah bergolak dekat timur Ukraine.
"Malaysia memberi sepenuh komitmen untuk membawa dalang tragedi itu ke muka pengadilan, dan kita perlu melakukan segala yang munasabah demi memastikan ia terlaksana. Kedua-dua negara bersetuju bahawa setiap negara yang terlibat perlu bekerjasama,” ujar Najib.
Tambah beliau, keutamaan usaha tersebut adalah untuk mendapatkan bangkai pesawat. Ia suatu usaha yang mencabar berikutan akses ke zon timur Ukraine itu menjadi medan pertempuran antara angkatan pemerintah Ukraine dan puak pemisah pro-Rusia.
Kiev dan pihak Barat berkata pesawat Boeing 777 telah ditembak jatuh oleh pejuang pemisah dengan menggunakan peluru berpandu yang dibekalkan Rusia. Moscow pula mendakwa jet pejuang Ukraine yang bertanggungjawab sepenuhnya.
Kerajaan pinpinan Presiden Rusia, Vladimir Putin terus dituduh oleh pihak Barat sebagai punca kejadian peristiwa malang itu. Moscow walau bagaimanapun menafikan penglibatannya.
Terdapat juga syor agar kes tersebut dibawa ke Mahkamah Jenayah Antarabangsa, namun Rutte menyatakan bahawa pendakwaan kesalahan dalam peristiwa malang tersebut masih samar-samar.
Lanjutan daripada kunjungan Rutte ke Malaysia, beliau akan ke Australia pula untuk bertemu Perdana Menteri Tony Abbott. Abbot sebelum ini lantang mengkritik Rusia berikutan tragedi MH17 dan berikrar untuk bersemuka Putin dalam Sidang Kemuncak G20 di Brisbane.
#Belanda #Boeing 777 #Malaysia #MAS #MH17 #Ukraine
;