Keluarga ambil keputusan untuk bakar mayat mendiang Karamjit di Malaysia
Bernama
Ogos 16, 2014 08:22 MYT
Ogos 16, 2014 08:22 MYT
Mayat mangsa MH17, Karamjit Singh Karnail Singh akan dibawa pulang untuk upacara pembakaran mayat di Malaysia, demikian menurut anaknya Amarpal Singh.
Beliau berkata keputusan itu telah dibuat oleh keluarga lebih awal sebelum dimaklumkan mayat mendiang dikenal pasti menerusi ujian Asid Deoksiribonukliek (DNA) di Belanda, baru-baru ini.
"Saya belum lagi dimaklumkan bila mayat mendiang akan tiba di Malaysia. Apabila tiba masanya, abu mayat mendiang akan ditaburkan berdekatan Pelabuhan Klang.
"Kami berharap untuk mengadakan upacara sembahyang secara kecil-kecilan dengan hanya ahli keluarga dan rakan-rakan," kata pemuda berusia 22 tahun itu kepada Bernama ketika dihubungi di sini hari ini.
Beliau berkata keluarganya lega dan tenang apabila mendengar khabar tersebut dan berharap tragedi dapat menemukan penyelesaian sepenuhnya.
Dalam perkembangan berkaitan, Amarpal memuji usaha dan kejayaan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam membawa pulang mayat rakyat Malaysia yang terkorban dalam kejadian 17 Julai itu di timur Ukraine.
"Saya tahu dia (Najib) sedang melakukan apa yang terbaik. Kami sekeluarga sebenarnya menjangka mayat paling awal dibawa pulang ialah akhir tahun ini," katanya.
Pelajar bidang perubatan di Universiti Monash Malaysia di Johor Baharu itu turut memuji tindakan pantas Najib untuk memastikan keluarganya menerima bantuan kewangan dengan secepat mungkin.
Amarpal berkata Perdana Menteri bertindak segera untuk memastikan beliau menerima biasiswa penuh di bawah Yayasan Rakyat 1Malaysia (YR1M) bagi baki dua tahun pengajiannya.
"Adik lelaki saya mendapat biasiswa penuh dengan Universiti Teknologi Petronas dan akan ke United Kingdom untuk latihan industri tidak lama lagi. Kami semua amat bangga dengannya," katanya.
Mengenai ibunya, Harbinder Kaur, 52, beliau berkata ibunya merupakan sumber kekuatan untuk beliau dan adiknya kerana mahu mereka meneruskan tumpuan kepada pelajaran dan bukan terjejas oleh tragedi itu.
Harbinder kini tinggal di rumah keluarga di Setiawangsa di sini dan lebih suka bersendirian dan kadang-kadang beberapa anggota keluarganya bermalam untuk menemaninya.
"Pada mulanya, seperti pasangan lain, ibu berada dalam keadaan histeria tetapi doa membantu kami. Tiada sanak-saudara atau sesiapa sahaja yang boleh membantu kami dengan kesedihan ini melainkan doa. Sekarang ibu adalah wira saya," katanya.
"Walaupun saya kehilangan ayah, mungkin saya boleh menemui sesuatu yang boleh membantu dan menyelamatkan nyawa orang lain pada masa akan datang," katanya.
Karamjit, 54, seorang pekerja ExxonMobil, merupakan antara 43 rakyat Malaysia yang menaiki pesawat malang itu yang terhempas di Donestk, timur Ukraine berdekatan sempadan Rusia.
Pesawat jenis Boeing 777-200ER itu, yang membawa 283 penumpang dan 15 anak kapal dalam penerbangan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur, dipercayai ditembak jatuh dengan peluru berpandu di wilayah bergolak di situ.