Jenazah anak terakhir Tambie Jiee dikenal pasti - Liow Tiong Lai
Rahimah Abdullah
September 26, 2014 19:23 MYT
September 26, 2014 19:23 MYT
Jenazah Muhammad Afruz Tambie Jiee, 13 tahun sudah dikenal pasti pasukan penyiasat nahas MH17.
Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai bagaimanapun berkata, jenazah hanya akan dibawa pulang ke tanah air selepas mendapat pelepasan kerajaan Belanda.
Perkembangan terbaru itu menjadikan kesemua enam ahli keluarga Tambi Jiee kini sudah dikenalpasti selepas lima jenazah dibawa pulang dan dikebumikan sebelum ini.
Manakala, dua lagi jenazah rakyat Malaysia masih belum dikenalpasti iaitu Siti Amirah Parawira, 83 dan Shaliza Zaina Dewa, 45 tahun.
“Kami berharap pihak di Pusat Hilversum akan mempercepatkan usaha mencari dan mengenalpasti kesemua mayat itu supaya dapat dibawa pulang ke tanahair segera,” ulas Datuk Seri Liow Tiong Lai.
Dalam pada itu, Malaysia terus mendesak Ukraine memberi kebenaran dan kelonggaran kepada pasukan penyiasat untuk memasuki kawasan nahas tersebut.
“Kami bersedih kerana pihak Ukraine telah menjanjikan satu lokasi yang selamat untuk memasuki kawasan nahas. Namun, janji itu hanya janji dan hingga kini kita belum dapat memasuki lokasi nahas. Ini termasuk kumpulan OSCE yang telah ditembak sewaktu memasuki lokasi tersebut. Ia sangat menyedihkan dan kami mendesak agar pihak Ukraine memenuhi permintaan kami agar keadilan dapat tercapai.” tambahnya lagi.
Jelasnya, pihak penyiasat berdepan cabaran kekangan masa selain faktor musim sejuk yang boleh menjejaskan usaha mencari dan mengenal pasti baki mangsa nahas pesawat berkenaan.