Identiti 65 mayat dikenal pasti, pasukan penyiasat terakhir pulang

Agensi
Ogos 10, 2014 09:32 MYT
Dari jumlah mangsa yang telah dikenalpasti, 21 daripadanya adalah warga Belanda - AFP PHOTO/ BULENT KILIC
Pakar Forensik Belanda mengumumkan telah mengenal pasti identiti 65 mayat mangsa nahas pesawat Penerbangan Malaysia, MH17 yang dipercayai ditembak jatuh 17 Julai lalu.
Demikian menurut kerajaan Belanda pada Sabtu sebaik sahaja pasukan penyiasat terakhir kembali dari tugasan mereka di kawasan nahas berkenaan di timur Ukraine.
42 lagi mangsa telah dikenalpasti berdasarkan mayat yang diambil dari lokasi kemalangan.
Manakala operasi mendapatkan kembali barangan kepunyaan mangsa telah dihentikan ekoran konflik yang semakin tegang antara tentera Ukraine dan puak pemisah pro-Rusia.
“Dari jumlah mangsa yang telah dikenal pasti, 21 daripadanya adalah warga Belanda dan 21 satu lagi warga negara lain,” kata Kementerian Keadilan Belanda dalam satu kenyataan.
“Kewarganegaraan mangsa-mangsa lain tidak akan didedahkan atas permintaan kedutaan negara masing-masing,” tambah kenyataan itu lagi.
Penyelaras siasatan forensik Arie de Bruijn berkata pada Jumaat sejumlah 176 mayat yang sempurna telah tiba di Belanda bersama dengan 527 anggota badan mangsa yang ditemui.
“Pasukan pakar sedang berkerja keras dalam memastikan yang terbaik namun, ianya akan mengambil masa berbulan-bulan sebelum mangsa dapat dikenalpasti” kata kerajaan Belanda.
Sementara itu, menurut laporan agensi berita ANP, pasukan penyiasat terakhir dari Belanda, Australia dan Malaysia telah meninggalkan Ukraine dan terbang ke Belanda bagi membantu siasatan.
Pasukan terakhir dijangka mendarat di Eindhoven lewat pada malam Sabtu, termasuk Ketua Misi Polis Belanda di Ukraine, Pieter-Jaap Aalbersberg.
Perdana Menteri Belanda, Mark Rutte semalam berkata operasi pencarian mayat dan anggota badan mangsa di lokasi nahas itu telah ditangguhkan kerana peningkatan kegiatan keganasan di kawasan itu.
Kerajaan Belanda pada Sabtu juga mengeluarkan peta yang menunjukkan kawasan di mana pakar-pakar mereka sedang menjalankan misi siasatan.
Pasukan terlibat telah menjalankan misi pencarian selama 20 jam dalam tempoh enam hari di kawasan nahas.
"Tidak semua kawasan dapat digeledah kerana ada beberapa tempat tidak dibenarkan masuk kerana risiko keselamatan yang tinggi” kata satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Belanda.
Penerbangan MH17 bersama 283 penumpang dan 15 anak kapal, sedang dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur apabila ia dipercayai ditembak jatuh di Donetsk, timur Ukraine, sebuah wilayah yang dikawal oleh puak pemberontak pro-Rusia 17 Julai lalu.
#Malaysia Airlines MH17 #MH17 #Pakar Forensik Belanda #puak pemisah pro-Rusia #Ukraine
;