FFM26 ditangguh kerana tragedi MH17

Daily Seni
September 12, 2014 10:32 MYT
Penangguhan Festival Filem Malaysia 26 (FFM26) yang dibuat baru-baru ini ekoran daripada ingin memberi penghormatan dan peka terhadap isu MH17
Penangguhan Festival Filem Malaysia 26 (FFM26) yang dibuat baru-baru ini ekoran daripada ingin memberi penghormatan dan peka terhadap isu MH17 yang melanda Malaysia pada Julai yang lepas.
Menurut Timbalan Ketua Pengarah Produksi dan Teknikal FINAS Malaysia, Dr. Megat Al-Imran Yasin, "penangguhan FFM26 berpunca daripada isu MH17 dan sebagai sebuah badan kerajaan yang berpolisi, FINAS harus peka dan prihatin terhadap sensitiviti semua pihak". Menurutnya lagi "FFM26 akan diadakan pada tahun ini juga dan tarikhnya akan diumumkan kelak".
Tambahnya lagi, "keputusan penangguhan tersebut telah dibuat dengan mengambil kira pandangan semua pihak dan telah dipersetujui oleh Ahli Lembaga FINAS sendiri". Ketika ditanya mengenai adakah akan ada kesan sampingan yang bakal berlaku akibat penangguhan ini, Dr Megat menafikannya dan berkata "majlis perasmian dan pengumuman calon sudah dibuat pada bulan Ogos lepas dan FFM26 tetap akan meriah seperti tahun-tahun lepas penganjurannya".
Ketika ditanya lagi mengenai adakah penangguhan ini dibuat kerana terdapat isu atau masalah dengan pihak Gabungan Persatuan Karyawan Filem Malaysia (GAFIM), Dr Megat menafikannya dan berkata "penangguhan dibuat kerana menghormati tragedi MH17 dan tiada kena-mengena dengan pihak GAFIM". Hal ini kerana Jurey Latiff yang merupakan Presiden gabungan GAFIM menjelaskan bahawa pihaknya bersedia memikul tanggungjawab menganjurkan anugerah tersebut yang sebelum ini diselaraskan oleh pihak FINAS.
#Amsterdam #Festival Filem Malaysia 26 #Kuala Lumpur #Malaysia Airlines #MH17 #Rusia #Ukraine
;