Dua lagi mayat mangsa tragedi MH17 tiba esok - Liow

Bernama
September 8, 2014 19:00 MYT
Mayat Tambi Jiee dan Benjamin Lee Jian Han akan tiba di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) pukul 8.30 pagi.
Dua lagi mayat warga Malaysia yang terkorban dalam tragedi pesawat Malaysia Airlines (MAS) Penerbangan MH17 pada Julai akan tiba di tanah air esok.
Mayat Tambi Jiee dan Benjamin Lee Jian Han akan tiba di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) pukul 8.30 pagi.
Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata mayat mereka akan diberi penghormatan penuh ketenteraan, sambil menambah Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin akan hadir pada istiadat itu.
"Mayat Tambi Jiee kemudian akan diterbangkan ke Kuching menggunakan pesawat C130 Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) sementara mayat Benjamin Lee Jian Han akan dibawa ke Pusat Penjagaaan Xiao En Bereavement di Cheras," kata beliau dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata, dengan ketibaan mayat kedua-dua rakyat Malaysia itu, sejumlah 35 mangsa MH17 dibawa pulang ke Malaysia termasuk seorang penumpang dengan dua kerakyatan (Loh Yan Hwa) dan dua warga Belanda (Paul Goes dan Fan Shun Po).
Katanya, setakat ini, sejumlah 199 penumpang MH17 telah dikenal pasti dengan 99 mangsa masih dalam proses pengecaman identiti.
Liow berkata, daripada 43 warga Malaysia yang menaiki Penerbangan MH17, mayat 34 orang terdiri daripada 20 penumpang dan 14 anak kapal sudah dikenal pasti sementara sembilan lagi masih dalam proses pengecaman.
"Dalam waktu yang sukar ini, saya menyeru semua rakyat Malaysia supaya menghormati privasi keluarga dan waris penumpang MH17. Ketika mereka menyemadikan orang tersayang mereka, kami berdoa semoga mereka diberi keberanian dan kekuatan untuk menghadapi kehilangan tragik ini," katanya.
Beliau berkata, Malaysia akan terus bekerjasama rapat dengan rakan-rakan antarabangsa terutama kerajaan Netherlands, untuk memastikan baki mangsa MH17 akan bersatu dengan keluarga mereka tidak lama lagi.
Penerbangan MH17 terhempas di timur Ukraine pada 17 Julai lepas ketika dalam penerbangan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur dengan membawa 283 penumpang dan 15 anak kapal.
Pesawat Boeing 777-200 itu ditembak jatuh di wilayah yang bergolak itu.
Selain warga Malaysia, rakyat dari Belanda, Australia, Indonesia, United Kingdom, Jerman, Belgium, Filipina, Kanada dan New Zealand adalah antara 298 penumpang dan anak kapal dalam pesawat itu.
#Lee Jian Han #MH17 #tambi jiee
;