Belanda berkabung memperingati mangsa tragedi MH17

AFP
November 10, 2014 20:16 MYT
Bendera Belanda dikibar separuh tiang di seluruh negara itu dan pejabat kedutaannya di seluruh dunia. - Foto fail
Rakyat Belanda hari ini menjalankan upacara perkabungan memperingati 298 mangsa nahas pesawat Penerbangan Malaysia MH17 yang telah ditembak jatuh di ruang udara timur Ukraine 17 Julai lalu.
Bendera dikibarkan separuh tiang di seluruh negara dan juga di kedutaan mereka di seluruh dunia sempena upacara yang berlangsung di Amsterdam.
Dianggarkan 1,600 orang menghadiri upacara itu termasuk Raja Willem Alexander, Ratu Maxima dan Perdana Menteri Mark Rutte.
Nama-nama yang menjadi korban tragedi berkenaan, termasuk 193 warga Belanda, dibacakan dalam upacara berkenaan.
Ia bermula kira-kira jam 11.10 pagi waktu tempatan di pusat persidangan RAI selain dipancarkan secara langsung ke televisyen serta radio negara berkenaan.
Rutte dan juga empat orang waris keluarga mangsa nahas yang berkabung akan meluahkan isi hati mereka dalam acara tersebut. Detik bertafakur selama seminit juga akan dijalankan.
Duta-duta dari 16 buah negara yang juga kehilangan rakyat mereka dalam nahas tersebut juga menghadirkan diri.
Ukraine dan pihak Barat menyatakan bahawa pesawat Boeing 777 telah ditembak jatuh menggunakan peluru berpandu darat-ke-udara BUK yang dibekalkan Rusia, namun Moscow menafikan sekeras-kerasnya dakwaan tersebut dan menyalahkan Kiev.
Sehingga kini, seramai 289 mangsa telah dikenal pasti pasukan penyiasat berdasarkan cebisan bahagian tubuh yang diambil di tapak nahas.
Bagaimanapun, Menteri Luar Belanda, Bert Koenders Sabtu lalu memberitahu kemungkinan baki mangsa yang masih di lokasi kejadian tidak dapat ditemui.
Lima keranda yang mengandungi cebisan mayat dan juga barang-barang peribadi telah diterbangkan ke Belanda Sabtu lalu untuk dikenal pasti.
Pakar-pakar dari Belanda telah empat kali ke tapak nahas sejak perjanjian gencatan senjata antara puak pemisah dan angkatan tentera pemerintah ditandatangani pada awal September lalu.
Akses masuk tersebut akhirnya dapat dilakukan selepas usaha pasukan penyiasat antarabangsa tertangguh akibat pertempuran sengit.
#Belanda #berkabung #Malaysia #mangsa #MH17 #tafakur
;