Bantuan kepada keluarga mangsa tragedi MH17 diteruskan
Bernama
Ogos 29, 2014 08:27 MYT
Ogos 29, 2014 08:27 MYT
Kerajaan tidak akan memberhentikan bantuan kepada waris dan keluarga penumpang serta anak kapal mangsa tragedi Malaysia Airlines (MAS) Penerbangan MH17 sehinggalah mereka mampu meneruskan kehidupan seperti biasa.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata, setakat ini pihaknya memberi bantuan kaunseling dengan menyediakan khidmat seorang kaunselor bagi setiap 43 waris dan anggota keluarga mangsa nahas terlibat.
"Anggota keluarga ini sudah rapat dengan kaunselor yang ditugaskan kepada mereka. Saya difahamkan semua perkara atau masalah mereka berkongsi bersama.
"Justeru kita turut menumpukan hal-hal kebajikan seperti bantuan kewangan kepada anggota keluarga ini manakala bantuan kaunseling akan kita berikan sehingga kita tidak diperlukan lagi," katanya kepada pemberita selepas menutup Kem Integrasi perintah Khidmat Masyarakat 2014 di Dewan Semai Bakti Felda Bukit Kuantan di sini pada Khamis.
Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Keluarga, Komunikasi dan Multimedia Negeri Datuk Shahaniza Shamsuddin.
Mengulas lanjut, Rohani berkata setakat ini pihaknya mengadakan 35 sesi intervensi bersama anggota keluarga mangsa nahas dan ada antara mereka yang telah pun reda dengan kehilangan orang tersayang dalam nahas tersebut.
Penerbangan MH17, yang membawa 298 penumpang dan anak kapal, ditembak jatuh ketika di Donetsk, timur Ukraine pada 17 Julai ketika dalam penerbangan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur.
Sebanyak 43 individu termasuk 15 anak kapal MH17 merupakan rakyat Malaysia.
Dalam pada itu, Rohani berkata Kem Integrasi selama tiga hari yang menghimpunkan 103 pelatih berumur 18 hingga 21 tahun yang diperintah oleh mahkamah menjalani khidmat masyarakat akan diteruskan pada masa akan datang.
"Lokasinya mungkin berubah tiap-tiap tahun. Macam tahun ini kita buat di Pahang. Program ini dilihat berjaya memberi kesedaran kepada para pelatih agar menjadi insan yang lebih baik pada masa akan datang.
"Saya berharap masyarakat juga akan memberi persepsi yang lebih baik terhadap para pelatih memandangkan mereka telah menerima hukuman sewajarnya dengan menabur bakti serta berkhidmat dalam komuniti," katanya.