'Bagaikan mati hidup semula' - Ibu Hamfazlin Sham

Bernama
Ogos 21, 2014 07:56 MYT
Hamlah Hassan, 61, menunjukkan foto kenangan arwah bersama anak-anaknya - Foto Bernama
"Bagaikan mati hidup semula"
Itulah yang dirasai ibu kepada pramugari Hamfazlin Sham Mohamed Arifin, 37, selepas mengetahui jenazah anaknya itu adalah antara 20 yang akan tiba di Malaysia pada Jumaat untuk disemadikan.
Hamlah Hassan, 61, berkata sebelum dimaklumkan perkara itu, beliau sentiasa berdoa agar jenazah anaknya ditemui dan dapat dibawa pulang.
"Hari-hari makcik tengok berita, dapatkan perkembangan terkini dan berdoa supaya dapat berjumpa jenazah, dan akhirnya doa makcik dimakbulkan bila arwah ditemui dan pihak berkenaan memaklumkan jenazahnya sempurna," katanya kepada Bernama.
Beliau berkata jenazah Hamfazlin Sham akan dihantar ke rumah keluarganya di Wangsa Maju dan akan dikebumi di Tanah Perkuburan Batu Muda, Gombak di sini.
"Jenazah akan tiba di rumah terlebih dahulu, dan kami akan tunggu di sini untuk menyembahyangkan jenazah di masjid berdekatan. Selepas solat Jumaat baru jenazah akan dikebumikan," katanya.
Dalam pada itu, adik Allahyarham, Hamizah Sham, 26, berkata mereka sekeluarga reda dengan apa yang terjadi walaupun tidak dapat melihat jenazah.
"Kami terima seadanya, yang penting arwah sampai dengan selamat dan lengkap," katanya.
Kerajaan hari ini mengeluarkan senarai 20 jenazah mangsa tragedi MH17 warga Malaysia yang akan tiba di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur untuk istiadat penghormatan pada Jumaat.
Sebelum ini, Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata bertafakur selama seminit bagi menghormati jenazah tragedi pesawat MH17 dijadual berlangsung bila-bila masa seawal 10.30 pagi.
Sejumlah 43 warga Malaysia adalah antara penumpang dan anak kapal pesawat yang terhempas di timur Ukraine pada 17 Julai.
Pesawat berkenaan, yang membawa 283 penumpang dan 15 anak kapal, dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur ketika ditembak jatuh di negara bergolak itu.
#Hamfazlin Sham Mohamed Arifin #MH17 #Ukraine
;