Abu mayat Karamjit ditabur dalam laut di Pelabuhan Klang

Bernama
Ogos 23, 2014 07:19 MYT
Ahli keluarga Karamjit Singh mengucapkan terima kasih terhadap cara pihak berkuasa menguruskan jasadnya.
Abu mayat Karamjit Singh Karnail Singh, seorang daripada rakyat Malaysia yang menjadi mangsa dalam nahas pesawat malang milik Malaysia Airlines (MAS) Penerbangan MH17, ditabur dalam laut di sini pada Sabtu.
Kedua-dua anak lelakinya, Amarpal Singh, 22, dan Melvinderjit Singh, 21, diiringi lebih 20 anggota keluarga dan sahabat handai ketika melakukan upacara itu pada kira-kira 11.40 pagi.
Abang mendiang iaitu Dr Rajindar Singh, 65, berkata keluarganya mengucapkan terima kasih terhadap cara pihak berkuasa menguruskan jasad Karamjit.
"Saya terharu dengan tugasan cemerlang yang dilakukan kerajaan, terutama anggota polis dan tentera, dalam mengendali jasad adik saya sejak ia dibawa ke KLIA semalam (Jumaat).
"Kami turut menjumpai gelang sikh yang dipakai mendiang Karamjit dari celah-celah abu mayat yang kami kutip," katanya kepada Bernama di jeti Pulau Ketam di sini.
Karamjit, 54, adalah antara 20 mangsa nahas MH17 yang jenazahnya tiba di KLIA pada Jumaat.
Pekerja ExxonMobil itu merupakan seorang daripada 43 penumpang dan anak kapal rakyat Malaysia yang berada dalam pesawat MAS berkenaan ketika ia terhempas di Donestk, timur Ukraine berhampiran sempadan Rusia pada 17 Julai lepas.
Pesawat itu, yang membawa 283 penumpang dan 15 anak kapal, ditembak jatuh ketika dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur.
Terdahulu, anggota keluarga Karamjit melakukan upacara keagamaan terakhir untuk mendiang di Taman Peringatan Nirvana di Seksyen 21, Shah Alam pada kira-kira 9.30 pagi sebelum membawa abu mayatnya ke Pelabuhan Klang.
#Hari Perkabungan Negara #Karamjit Singh Karnail Singh #Malaysia Airlines #mangsa nahas #MH17
;