Zuraida kecam PKR pecat ahli secara 'pilih bulu'
Astro Awani
November 25, 2019 13:06 MYT
November 25, 2019 13:06 MYT
Tindakan pucuk pimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR) memecat dua ahlinya dikecam Naib Presidennya, Zuraida Kamaruddin
Pemecatan itu juga disifatkan Ahli Parlimen Ampang itu sebagai tindakan "reformasi membawa rebah" kerana dalam masa sama, ada anggota lain yang turut didakwa melanggar undang-undang lain, namun tiada sebarang tindakan diambil terhadap mereka.
Kecaman secara terbuka Zuraida pada pucuk pimpinan PKR dibuat berikutan pemecatan dua ahli parti itu dari Pahang berkuat kuasa serta-merta hari ini setelah dipercayai terlibat dengan kes rasuah dan suapan ketika pemilihan parti itu, pada tahun lepas.
Pemecatan Ketua Cabang PKR Bera, Zakaria Abdul Hamid iaitu seorang daripada ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) dan ahli PKR negeri Pahang Ismail, Dulhadi diumumkan oleh Pengerusi Lembaga Disiplin PKR Datuk Ahmad Kassim selepas mesyuarat bulanan PKR, di ibu pejabat PKR pada Ahad.
"Saya melihat tindakan memecat anggota parti yang juga Ahli Majlis Pimpinan Pusat, Tuan Zakaria Ab. Hamid sebagai tindakan yang berani dari Keadilan.
"Saya katakan berani kerana tindakan ini benar-benar dilihat sebagai suatu langkah reformasi dalam parti, reformasi yang membawa rebah!
"Jika benar memang ada saranan dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk parti politik mengambil tindakan terhadap anggota parti yang masih tidak dibuktikan bersalah di mahkamah, maka parti wajib juga mengambil tindakan terhadap beberapa anggota parti yang jelas melanggar undang-undang negara," tegas Zuraida dalam kenyataan pada Isnin
"Pemecatan yang dilakukan hanya akan mendatangkan tanda tanya, apakah ia dilakukan dengan memilih bulu?
"Memandangkan hanya individu tertentu yang dilihat berpihak pada pimpinan tertentu sahaja diambil tindakan," tegas beliau lagi.
Sehubungan itu, Zuraida menggesa supaya reformasi kepimpinan dilakukan segera, sekiranya PKR ingin diselamatkan.