Zuraida gesa henti perbualan isu seks sejenis, fokus agenda pembangunan
Muhafandi Muhamad
Jun 21, 2019 18:07 MYT
Jun 21, 2019 18:07 MYT
Perbualan melibatkan isu seks sejenis atau perbuatan jijik dan sebagainya perlu dihentikan segera agar fokus pada agenda membangunkan negara tidak ketinggalan.
Menurut Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Zuraida Kamaruddin, sudah tiba masanya perbualan tidak bermoral seperti itu dihentikan.
"Saya kira dari segi moral itu banyak perkaralah, tapi apa yang penting sudah tiba masanya rakyat Malaysia jadi matang (berhubung) isu-isu lucah dan jijik ini.
"Ini (perbualan lucah) jangan jadi sebahagian daripada topik percakapan, kita kena matikan barulah boleh maju. Kalau kita terus (bercakap) dalam perbualan jadi negara tak akan dapat kemajuannya.
"Isu ini tak sepatutnya terjadi tapi terjadi (juga) jadi kita harus belajar untuk hentikan immediately (serta-merta) bila berdepan dengannya," katanya.
Beliau berkata demikian ketika diminta menguas pandangan rakyat terhadap PKR dan pimpinannya berhubung penyebaran video intim yang dikaitkan dengan kepimpinan tertinggi parti itu sehingga mewujudkan persepsi negatif.
Zuraida berkata, video berkenaan yang tidak diketahui dicetuskan oleh pembangkang atau sebaliknya, akan turut digunakan pihak lawan sebagai alat atau tumpang sekaki bagi menyerang parti.
Beliau menegaskan, seperti yang dinyatakan sebelum ini bahawa Ketua Angkatan Muda Keadilan cabang Santubong, Haziq Abdullah Abdul Aziz perlu dipecat dari PKR serta-merta.
Haziq dalam pengakuannya membuat dakwaan mengadakan hubungan intim dengan pasangan sejenisnya yang mirip seorang pemimpin kerajaan.
#fokus agenda pembangunan
#henti perbualan isu seks sejenis
#Parti Keadilan Rakyat
#PKR
#Zuraida Kamaruddin