Zuraida dan pengikut buat laporan polis terhadap Jamal

Rahimah Abdullah
November 15, 2016 13:29 MYT
Zuraida berkata pihaknya akan turut membuat laporan polis di seluruh negara terhadap Ketua Bahagian UMNO Sungai Besar itu (tengah). - Foto Astro AWANI / Shahir Omar
Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin membuat laporan polis terhadap Ketua Gerakan Baju Merah, Datuk Seri Jamal Md Yunos susulan ugutannya yang didakwa mengancam keselamatan.
Turut membuat laporan polis ialah Ketua AMK Ampang, Datuk Adam Rosly yang mendakwa Datuk Seri Jamal dan pengikut membuat kekacauan di kediamannya pada 13 November lalu.
Selain itu, 48 lagi pengikut Ahli Parlimen itu turut membuat laporan polis terhadap Jamal.
Laporan dibuat di Ibu Pejabat Polis Ampang Jaya pada jam 10 pagi tadi.
Zuraida juga berkata pihaknya akan turut membuat laporan polis di seluruh negara terhadap Ketua Bahagian UMNO Sungai Besar itu.
Tambahnya, sudah tiba masa Ketua Polis Negara bertindak dengan mengurung Jamal yang disifatkan buas dan merbahaya seperti singa lapar.
"Tindakan buas Jamal ini amat membimbangkan dan saya mendesak agar KPN mengambil tindakan terhadap Jamal supaya perkara ini tidak terjadi kepada pihak yang lain," katanya.
MESTI BACA: 'Jamal seperti binatang buas, kurung dia!' - Zuraida
MESTI BACA: 'Darah diganti darah' - Jamal Yunos
MESTI BACA: Dua anggota kumpulan Baju Merah direman tiga hari bantu siasatan polis
Tambahnya, kelakuan tidak bertamadun itu akan mencemarkan imej negara yang seolah-olah tidak mempunyai undang-undang yang hari diikuti.
Katanya, dengan siri ugutan dan rakaman video , sudah cukup bukti untuk polis bertindak.
Dalam pada itu, Zuraida sekali lagi menuntut Jamal membuat permohonan maaf mengikut saluran yang sepatutnya bagi membersihkan namanya semasa insiden 'berdarah' di Ampang.
"Saya tuntut beliau mohon maaf dengan ikut saluran dan undang-undang yang betul. Saya tak mahu dia suka-suka minta maaf macam itu sahaja, ikut saluran betul.
"Jika beliau tidak bersihkan nama dan mohon maaf dalam masa 24 jam, kami tidak teragak-agak untuk ambil tindakan saman ke atas beliau," tambahnya lagi.
Pada Ahad, Jamal mendakwa diserang dan ditumbuk oleh 'budak Zuraida' di Ampang pada Ahad, lapor Malaysiakini.
Kejadian kira-kira 4 petang itu berlaku ketika Jamal bersama kumpulannya mengekori anggota Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin serta pengikutnya yang sedang mempromosi perhimpunan Bersih di sebuah pusat beli-belah.
#Adam Rosly #Ahli Parlimen Ampang #Baju kuning #Baju Merah #Jamal Yunos #Mak Lampir #perhimpunan Bersih #Zuraida Kamaruddin
;